Anwar bergantung kepada Zahid ibarat bergayut di ranting yang patah


(Agenda Daily) – Tindak-tanduk Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kebelakangan ini dilihat terlalu cenderung ke arah UMNO demi mendapatkan sokongan orang Melayu.

Wakil rakyat kerajaan, Hassan Karim mengibaratkan tindakan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu seolah-olah belut pulang ke lumpur yang membawa maksud pulang ke tempat asal.

“…Zahid tidak mampu memperjuangkan nasib orang Melayu, apatah lagi untuk melindungi mereka kerana nasib Presiden UMNO itu sekarang di mahkamah pun masih belum pasti. Bebas atau masuk ke penjara – seperti yang sedang dialami oleh bekas perdana menteri dan Presiden UMNO sebelum ini, (Datuk Seri) Najib Razak.

“Persoalan terakhir yang penting, sekiranya Anwar terlalu condong ke arah UMNO untuk mendapat jaminan sokongan Melayu Islam melalui UMNO, tidakkah itu ibarat bergayut di ranting yang patah?

“Jika Anwar semacam taksub kepada UMNO sehingga susuk seperti (Datuk) Lokman Noor Adam pun layak dilantik menjadi jurubicara politik kerajaan perpaduan, lalu tidak hairanlah jika ada orang yang mengingatkan kata pepatah, adakah Perdana Menteri Ke-sepuluh ini seperti ‘belut pulang ke lumpur’?,” katanay dalam satu kenyataan, semalam.

Beliau yang merupakan Ahli Parlimen Pasir Gudang itu berkata demikian bagi mengulas laporan berita berkait kehadiran Anwar ke Perhimpunan Agung UMNO Jumaat depan sebagai tetamu kehormat.

Mengulas soal keakraban Anwar dengan Zahid itu, Ahli Parlimen PKR ini mempertikai panji perjuangan kedua pemimpin tersebut.

“Jika di pihak pembangkang, gandingan (Tan Sri) Muhyiddin Yassin, (Tan Sri) Haji Abdul Hadi Awang dari PAS dan kini ditambah oleh (Tun) Dr Mahathir Mohamad akan mengemukakan naratif nasional mereka iaitu Melayu dan Islam sebagai panji-panji perjuangan mereka, jadi apa pula panji-panji perjuangan Anwar Ibrahim serta Zahid Hamidi dengan pemimpin 19 parti komponen kerajaan perpaduan?

“Mungkinkah naratif nasional kerajaan perpaduan ialah Malaysia Madani? Kalau jawapannya ya, maka dari segi politik adakah falsafah Malaysia Madani dapat memberi saingan kepada naratif Melayu Islam yang dibawa oleh Perikatan Nasional (PN) dan mungkin ditambah perisanya dengan Proklamasi Orang Melayu dari Dr Mahathir Mohamad?,” soalnya.

Dalam kenyataan sama, Hassan berkata meskipun Anwar sebagai seorang perdana menteri kini lebih popular daripada Muhyiddin mahupun Dr Mahathir namun PH pimpinannya itu masih tidak mempunyai sokongan pengundi Melayu Islam yang cukup tanpa UMNO.

 



Comments
Loading...