Kristian di Sarawak saja boleh guna “Allah”, kata Anwar


(Berita Harian) – Penggunaan kalimah Allah oleh penganut Kristian di Sarawak dalam penerbitan bahan agama mereka bagi tujuan pendidikan, hanya terpakai untuk negeri itu dan tidak di negeri-negeri lain, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri berkata, penjelasan mengenai perkara itu juga sudah diperjelaskan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail pada sidang media di Putrajaya, hari ini.

Penjelasan itu susulan gesaan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam semalam supaya KDN memberi penjelasan berhubung keputusan menarik balik rayuan keputusan Mahkamah Tinggi berkaitan penggunaan kalimah Allah dan tiga perkataan Arab dalam penerbitan bahan agama lain.

Anwar turut mengulangi pendirian kerajaan kekal komited mempertahankan dan melindungi kepentingan Islam, orang Melayu dan institusi Raja, khususnya dalam isu penggunaan kalimah Allah selaras dengan Perkara 11(1) dan Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan.

“Sarawak, kita faham dulu tak terikat dengan keputusan negeri-negeri, ia tak boleh terpakai di Melaka, Pulau Pinang dan Selangor, tak boleh.

“Ini (penggunaan kalimah Allah) khusus untuk Sarawak yang kita dah kalah dalam kes awal kerana di Sarawak, memang diputuskan oleh negeri sebegitu rupa, kita kena faham,” kata Perdana Menteri.

Beliau berkata demikian pada Majlis Sambutan Aidilfitri Perpaduan MADANI Anjuran Pertubuhan Prihatin Anak Melaka bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Tanjung Minyak, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dan Ketua Polis Melaka Datuk Zainol Samah.

Terdahulu di Putrajaya, Saifuddin Nasution menjelaskan, keputusan KDN tidak meneruskan permohonan semakan kehakiman membabitkan kes Jill Ireland lawan Kerajaan Malaysia disebabkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang dikeluarkan ketika itu menggunakan pendekatan perundangan sivil dan pentadbiran.

Katanya lagi, isu terbabit adalah berkaitan rampasan bahan penerbitan pada ketika itu dan bukanlah dari sudut teologi ataupun apa juga yang membabitkan penggunaan kalimah Allah.

“Ini kerana fungsi mahkamah itu sendiri adalah tidak bersesuaian untuk memutuskan hal ehwal berkaitan agama secara spesifik.

“Justeru dalam penghakiman Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 10 Mac 2021, jelas bahawa hakim membuat keputusan berdasarkan pendekatan secara pentadbiran.

“Hakim tidak menyentuh mengenai penggunaan kalimah Allah serta ia konsisten dengan keputusan Mahkamah Persekutuan terhadap kes Titular Roman Catholic Archbishop Kuala Lumpur lawan Menteri Dalam Negeri pada 2014.

“Bersangkutan dengan hal ini, keputusan kerajaan untuk tidak meneruskan permohonan rayuan itu adalah dibuat berdasarkan kes demi kes tanpa menjejaskan fakta bagi setiap satu kes yang sedang dalam tindakan mahkamah,” kata Saifudin Nasution.

Ahad lalu, media melaporkan KDN dan kerajaan Malaysia menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi bahawa penganut Kristian boleh guna kalimah Allah dan tiga perkataan Arab, iaitu Baitullah, kaabah dan solat dalam penerbitan bahan agama mereka bagi tujuan pendidikan.

Notis pemberhentian rayuan semakan kehakiman itu difailkan Pejabat Peguam Negara di Pejabat Pendaftar Mahkamah Rayuan di Putrajaya, pada 18 April lalu.

Antara lain, notis itu menyatakan bahawa KDN dan kerajaan Malaysia tidak berniat untuk meneruskan rayuan yang difailkan pada 12 Mac 2021 dan memberhentikan keseluruhan rayuan tanpa sebarang perintah terhadap kos.

Ia susulan keputusan Mahkamah Tinggi pada 10 Mac 2021 membenarkan permohonan semakan kehakiman wanita Kristian, Jill Ireland Lawrence Bill yang memohon perisytiharan mengenai hak perlembagaannya berhubung penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan agama berkenaan.

Semalam, Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Muhammad Faisal Abdul Aziz dipetik berkata, tindakan kerajaan itu adalah satu keputusan yang besar kerana ia membabitkan kepentingan awam dan isu sensitif.

“ABIM juga berpandangan isu ini sewajarnya diserahkan kepada peringkat mahkamah tertinggi dalam negara untuk dimuktamadkan memandangkan proses mahkamah belum berakhir,” katanya.

Badan Peguam Syarie Wilayah-Wilayah Persekutuan dan Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) juga bersependapat kerajaan perlu memberikan penjelasan berhubung tindakan penarikan balik rayuan itu.

Presiden Badan Peguam Syarie Wilayah-Wilayah Persekutuan, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar, berkata sebelum ini, Peguam Kanan Persekutuan menegaskan mahkamah terkhilaf dalam membuat keputusan dan kerajaan akan membuat rayuan terhadap keputusan itu.

 



Comments
Loading...