Kes Hamzah Zainuddin: repot polis dibuat terhadap SPRM


Saya, Ahmad Ikhwan bin Fadhli adalah Setiausaha Sulit kepada Dato’ Seri Hamzah bin Zainudin (“DS Hamzah”) bekas Menteri Dalam Negeri (“MDN”). DS Hamzah juga merupakan Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (“BERSATU”), Setiausaha Agung Parti Perikatan Nasional dan Ketua Pembangkang.

2. Pada 10.5.2023, media massa (antaranya Malaysiakini, The Edge Markets, dan Free Malaysia Today) melaporkan tentang kes SPRM di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur yang melibatkan empat pertuduhan rasuah terhadap seorang penama, Sim Choo Thiam yang kononnya terlibat dengan penerimaan rasuah membabitkan Hep Kim Hong dan Syed Abu Zhafran:

Pautan: https://www.malaysiakini.com/news/664545

https://www.theedgemarkets.com/node/666333

https://www.freemalaysiatoday.com/category/nation/2023/05/10/datuk-seri-charged-with-taking-rm15mil-bribe-linked-to-home-ministry-projects/

3. SPRM juga telah menghebahkan kes ini di laman sesawang mereka sebagai Kes Menarik “Datuk Seri Didakwa Minta Rasuah RM15 Juta Projek KDN” dengan menyebut nama DS Hamzah seolah-olah beliau terbabit sedangkan ini palsu sama sekali (pautan: https://www.sprm.gov.my/index.php?id=21&page_id=103&contentid=2889&cat=BM).

4. Laporan media massa juga menyebut nama DS Hamzah dalam pertuduhan “untuk mendapatkan apa-apa projek milik agensi-agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri”. Oleh sebab itu, masyarakat awam diberikan gambaran bahawa DS Hamzah terbabit dalam rasuah, yang tidak benar sama sekali.

5. Setelah kes Mahkamah tersebut, pada petang 10.5.2023, pegawai penyiasat SPRM telah memeriksa DS Hamzah dari jam 4.30 petang sehingga 7 malam. Dalam rakaman percakapan DS Hamzah, beliau telah menegaskan seperti berikut:

a) nama beliau telah secara salah dan dengan niat jahat dimasukkan dalam pertuduhan untuk memberikan gambaran bahawa DS Hamzah terkait dengan kesalahan dalam pertuduhan tersebut;

b) DS Hamzah tidak tahu apakah projek yang menjadi hal perkara dalam pertuduhan tersebut. Malah, keempat-empat pertuduhan tersebut hanya menyatakan secara rambang “apa-apa projek milik agensi-agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri”;

c) terdapat 9 agensi penguatkuasa di bawah Kementerian Dalam Negeri (“KDN”) dan DS Hamzah tidak tahu projek apakah yang dibabitkan dalam keempat-empat pertuduhan tersebut;

d) DS Hamzah tidak mengenali Hep Kim Hong dan tidak pernah bertemu dengan orang tersebut;

e) Sebagai seorang ahli politik dan menteri, walaupun DS Hamzah mengenali Sim Choo Thiam dan Syed Zhafran, DS Hamzah tidak pernah membabitkan mereka dalam apa jua urusan rasmi kerajaan;

f) DS Hamzah tidak pernah terbabit dalam apa-apa suapan/rasuah dengan orang-orang yang dinamakan dalam pertuduhan tersebut atau dengan mana-mana pihak dalam apa jua keadaan;

g) DS Hamzah tidak mempunyai sebarang pengetahuan berhubung dengan fakta-fakta di dalam pertuduhan-pertuduhan tersebut;

h) Fakta dalam pertuduhan tersebut tidak mengaitkan sebarang salah laku dengan DS Hamzah dan oleh itu, DS Hamzah hairan kenapa nama beliau perlu disebut.

6. Terdapat juga blog-blog di internet yang mengaitkan kes ini dengan suatu projek Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (pautan: https://sabahkini2.org/en/news/5480/stephen-sim-butler-didakwa-kes-rasuah-rm15-juta-kaitkan-hamzah-zainudin-bekas-menteri-kdn-/view). Ini menunjukkan terdapat sumber SPRM yang sengaja membocorkan atau melepaskan maklumat seperti itu untuk mencemar nama DS Hamzah semasa menjadi MDN. DS Hamzah dengan tegas menyatakan bahawa beliau tidak pernah membentangkan atau meluluskan sebarang projek seperti itu semasa beliau menjadi MDN.

7. DS Hamzah telah mengeluarkan satu kenyataan media pada 10.5.2023 selepas dirakam percakapan beliau oleh penyiasat SPRM. Dalam kenyataan media tersebut, DS Hamzah telah membangkitkan kenyataan dari timbalan Perdana Menteri merangkap Presiden UMNO iaitu Datuk Seri Zahid Hamidi yang mengugut untuk menjadikan pemimpin BERSATU/PN sebagai kluster Mahkamah yang baru (pautan: https://www.utusan.com.my/nasional/2023/01/pau-2022-sekarang-mereka-bakal-jadi-kluster-mahkamah/).

8. Saya membuat laporan polis ini kerana tidak mahu nama DS Hamzah disalahgunakan atau dibabitkan dengan apa jua kesalahan atau perbuatan salah laku atau apa jua pertuduhan yang mana beliau tidak pernah terlibat. Saya juga tidak mahu nama DS Hamzah disalahgunakan atau dibabitkan oleh SPRM, mana-mana pihak media atau mana-mana pihak lain kerana ianya mencemar nama DS Hamzah sebagai Setiausaha Agung BERSATU, Setiausaha Agung Perikatan Nasional dan Ketua Pembangkang.

9. Adalah jelas bahawa setelah gagal mencari sebarang salah laku DS Hamzah, tindakan terkini SPRM adalah untuk menimbulkan pertuduhan terhadap orang-orang dan ahli perniagaan supaya mereka ditekan untuk menuding jari kepada DS Hamzah. Apabila SPRM gagal untuk berbuat demikian, pertuduhan-pertuduhan samar dikemukakan di Mahkamah seperti yang terjadi di dalam kes ini.

10. Laporan polis ini juga dibuat agar pihak polis menyiasat konspirasi menyalahguna kuasa dan mengerah SPRM supaya mengambil tindakan pemangsaan politik terhadap pemimpin-pemimpin BERSATU dan orang-orang di sekeliling mereka. Ini merupakan kesalahan yang perlu disiasat oleh pihak polis seperti berikut:

a) Memfitnah di bawah s. 499 dan s. 500 Kanun Keseksaan;

b) Pakatjahat jenayah di bawah s. 120A dan 120B Kanun Keseksaan;

c) Kesalahan terhadap undang-undang Malaysia di bawah s. 225B Kanun Keseksaan;

d) Menakutkan secara jenayah di bawah s. 503 Kanun Keseksaan;

e) Mengaibkan dengan niat membangkitkan pecah keamanan di bawah s. 504 Kanun Keseksaan;

f) Membuat kenyataan-kenyataan yang mendatangkan khianat awam di bawah s. 505 Kanun Keseksaan;

g) Menyalahgunakan kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian di bawah s. 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

 



Comments
Loading...