Menteri perlu bezakan laporan analisis – Johan Jaaffar


(Sinar Harian) – Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri Johan Jaaffar menzahirkan kekesalan terhadap Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil yang membidas laporan jangkaan kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebagai satu penipuan dan fitnah.

Menurutnya, Fahmi tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan sedemikian kerana beliau merupakan seorang menteri yang diberi tugas untuk menjadi jurucakap kerajaan.

“Beliau juga sepatutnya faham bahawa laporan itu memetik kepada pandangan dan ramalan penganalisis.

“Ia merupakan amalan biasa dalam laporan pemberitaan bisnes dan urusniaga sama seperti pandangan penganalisis politik juga dipetik bagi tujuan berita semasa,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Sebelum ini, media tempatan melaporkan penganalisis menjangkakan Bank Negara Malaysia (BNM) sekali lagi akan menaikkan OPR sebanyak 25 mata peratusan seawal Julai ini.

Dalam pada itu, Johan menyatakan sebagai sebuah negara demokrasi, semua pandangan baik yang menyokong atau menentang kerajaan seharusnya diberikan tempat.

Jelas beliau, saluran media bukanlah portal atau risalah rasmi kerajaan.

“Sebelum ini beliau menjanjikan bahawa media memiliki kebebasan membuat laporan dalam kerangka undang-undang sedia ada,” ujarnya.

Pada masa sama, Johan turut kecewa terhadap menteri berkenaan kerana melenting dengan laporan persepsi dan skor Kerajaan Perpaduan yang dibuat oleh lima media arus perdana.

 



Comments
Loading...