MUDA bantah JAIS larang umat Islam sertai program rumah ibadat lain


(Malaysia Gazette) – Presiden MUDA, Syed Saddiq Syed Abdul Rahmah tidak bersetuju dengan peraturan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) melarang program melibatkan umat Islam di rumah ibadah agama lain.

Ahli Parlimen Muar itu berkata, program dan usaha untuk menyemarakkan lagi keharmonian dan kesefahaman antara rakyat seharusnya disambut dengan baik oleh semua pihak di semua peringkat.

Ini kerana Malaysia merupakan negara yang mempunyai masyarakat yang majmuk, berbilang bangsa dan agama.

Katanya, selama ini ahli MUDA yang terdiri daripada pelbagai latar belakang tidak pernah mempunyai masalah untuk bekerjasama dalam program kemasyarakatan yang diadakan.

“Ahli MUDA tidak kira apa agama atau bangsa sama-sama membersihkan masjid, tokong, kuil, gereja, gurdwara dan lain-lain tempat ibadah ketika kerja-kerja pembersihan banjir.

“Saya yakin untuk yang beragama Islam, iman mereka sedikit pun tidak terjejas sehingga hendak menukar agama,” kata Syed Saddiq.

Malah menurut bekas Menteri Belia dan Sukan itu, beliau telah banyak kali melawat rumah ibadah penganut agama lain.

Beliau menegaskan tidak pernah melihat ada agenda untuk menjejaskan agama Islam di negara ini.

“Saya dijemput kerana saya mewakili rakyat saya tanpa perlu peduli apa agama mereka, apa bangsa mereka, dan apa fahaman politik mereka. Kebajikan mereka adalah tanggungjawab saya.

“Justeru itu, saya ingin bertanyakan adakah enakmen ini akan dipakai kepada pemimpin-pemimpin besar negara juga sekiranya mereka melawat ke rumah-rumah ibadah ini?

“Malaysia teguh kerana perpaduan dan dengan perpaduan ini datangnya kemakmuran,” katanya dalam kenyataan.

READ MORE HERE

 



Comments
Loading...