Lebih ramai individu termasuk VIP akan dipanggil bantu siasatan kes LCS, kata Azam


Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki berkata beliau turut memberi jaminan bahawa tiada pihak yang akan dilindungi dalam siasatan itu.

(MALAYSIA NOW) – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan memanggil lebih ramai individu termasuk dari dalam dan luar negara untuk diambil keterangan berhubung siasatan kes pembinaan Kapal Tempur Pesisir (LCS).

Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki berkata beliau turut memberi jaminan bahawa tiada pihak yang akan dilindungi dalam siasatan itu.

“Saya dapat maklumat dari pegawai penyiasat, ramai lagi saksi akan dipanggil untuk diambil keterangan, bukan sahaja di dalam negara tetapi juga melibatkan luar negara.

“Saya tidak menolak sesiapa sahaja (untuk diambil keterangan), baik VIP atau menteri yang terlibat dalam kes ini, semua akan dipanggil bagi memastikan siasatan kes dapat dijalankan,” katanya pada sidang media selepas Majlis Perbarisan Tamat Latihan Kursus Asas Pegawai SPRM Siri 26 Bil 1/2022 Penolong Penguasa P29, di Johor Bharu hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dua hari lepas yang menegaskan bahawa siasatan berhubung isu pembinaan LCS itu mesti diteruskan.

“Siasatan ke arah membuktikan bagaimana berlaku kehilangan wang begitu besar dalam kes LCS ini, jadi beri masa pada kita untuk menyelesaikan kes ini,” katanya.

Anwar dilaporkan sebagai berkata pendakwaan berhubung isu pembinaan LCS pada peringkat awal, sebelum ini tidak mencukupi memandangkan ia melibatkan skandal berskala besar dan ketirisan, selain pendakwaan tidak bertindak kepada orang-orang yang lebih utama yang dikatakan terlibat dalam isu perolehan LCS tersebut.

Ketika diminta mengulas mengenai Pengerusi Perikatan Nasional Muhyiddin Yassin yang mencabar SPRM menyiasat dana politik yang diterima Umno, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP, Azam berkata pihaknya bersedia untuk menyiasat mana-mana pemimpin parti politik sekiranya terdapat aduan dan bukti salah saku rasuah.

READ MORE HERE

 



Comments
Loading...