Dr Mahathir jelaskan mengapa Melayu dominasi perkhidmatan awam


“Kita khuatir tentang masa depan orang Melayu kerana kita sedar mereka tidak mampu bersaing dengan orang Cina. Sebab itu ditentukan bagi jawatan tertinggi, empat orang Melayu (diberikan tempat), kemudian orang bukan Melayu”

(MalaysiaNow) – Bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad tampil menjelaskan mengapa kaum Melayu mendominasi penjawat awam selepas pemimpin DAP, P Ramasamy menuduh situasi itu diadakan semasa zaman pentadbiran beliau.

Mahathir berkata, ketika rundingan kemerdekaan, kerajaan menyedari orang Melayu tidak mampu bersaing dengan kaum Cina selepas merdeka.

“Kita khuatir tentang masa depan orang Melayu kerana kita sedar mereka tidak mampu bersaing dengan orang Cina. Sebab itu ditentukan bagi jawatan tertinggi, empat orang Melayu (diberikan tempat), kemudian orang bukan Melayu,” katanya kepada MalaysiaNow.

“Sementara ada dasar yang memberi keutamaan pada orang Melayu, secara tidak langsung orang Cina tidak memberi tempat langsung kepada orang Melayu (dalam sektor swasta).”

Ramasamy yang juga timbalan ketua menteri II Pulau Pinang dalam satu kenyataan sebelum ini menggesa Perdana Menteri Anwar Ibrahim memecahkan dominasi orang Melayu dalam penjawat awam yang didakwanya merupakan dasar semasa era pemerintahan Mahathir.

“Hujah lama yang memihak kepada penguasaan Melayu dalam perkhidmatan awam bagi mengimbangi penguasaan ekonomi Cina tidak boleh lagi diguna pakai,” menurut Ramasamy.

Mahathir menjelaskan, sekiranya kerajaan tidak memberikan ruang kepada orang Melayu, mereka tidak akan mampu bersaing.

“Kalau orang Cina tak bagi tempat, kerajaan pun tak bagi tempat, orang Melayu hendak pergi mana?” katanya.

Read more here

 



Comments
Loading...