MT tolak maklumat agensi kata UMNO kalah jika PRU-15 awal


Naib Presiden UMNO yang juga bekas Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mendedahkan beliau telah memaklumkan kepada Majlis Tertinggi bahawa UMNO akan kalah jika PRU-15 diadakan lebih awal.

(Agenda Daily) – Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mendedahkan beliau telah memaklumkan kepada Majlis Tertinggi (MT) UMNO bahawa Barisan Nasional (BN) akan kalah pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), tetapi MT enggan menerima maklumat disalurkan agensi-agensi tertentu.

Menurutnya MT dan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) begitu yakin akan mencapai kemenangan besar sekiranya PRU-15 diadakan segera, sedangkan dalam laporan yang beliau terima menunjukkan gabungan itu akan kalah.

Naib Presiden UMNO itu berkata walaupun mempunyai kuasa sebagai Perdana Menteri – untuk membubarkan atau tidak Parlimen – beliau tetap mengikut keputusan MT dan PAU.

Menurutnya maklumat yang beliau terima berbeza dengan apa yang diperoleh Pengarah Pilihan Raya BN Datuk Seri Mohamad Hasan yang mendakwa gabungan itu akan menang.

Malah, katanya Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sendiri mengatakan beliau pernah menjadi Menteri Dalam Negeri dan maklumat yang diberikan agensi tertentu kadang-kala tidak tepat.

“Apabila desakan itu, desakan daripada parti sendiri untuk pilihan raya… dan dia orang kata ooh tak, kenapa kita tak buat awal? (MT kata) Tak buat awal kita kalah.. konon-kononnya kalau lepas PRN di Johor dan Melaka kalau kita buat kita menang.

“Dalam laporan yang saya terima, kita kalah. Dan waktu saya nak bubarkan Parlimen itu, saya beritahu kepada MT. Kita setakat ini kita kalah… Wanita UMNO melaporkan35 kerusi maksimum kita menang.

“Dan saya kata kalau (pengundi) kelabu putih campur putih hanya 60 kerusi… mungkin kita menang 30. Tapi dalam MT berkeras (adakan pilihan raya) sehinggakan saya kata okeylah. Kalau you all nak juga pilihan raya diadakan sekarang dalam setahun kita kalah. Kita semua kena bertanggungjawab.

“Sebab saya dah beritahu keadaan yang sebenar. Saya sebut di dalam mesyuarat MT bukan saya merajuk. Saya dah angkat suara sikit itu hari… kalau you all nak juga okeylah. Kita semua bertanggungjawablah.

“Sebab saya tahu kalau pilihan raya masa itu… tak menang… boleh kalah. Tapi laporan yang dikeluarkan oleh pengarah pilihan raya Tok Mat ketika itu kita menang. Kita boleh cross 112. Kita boleh menang. Presiden pun kata kita menang.

“Sehinggakan presiden kata dulu saya pernah jadi Menteri Dalam Negeri kadang-kadang agensi pun buat silap dari segi laporan. Ya kalau dah ini kehendak dan itu adalah kehendak parti… kehendak parti yang diputuskan oleh MT supaya pilihan raya perlu disegerakan,” katanya dalam temu bual bersama Media Mulia.

Ismail Sabri yang juga Ahli Parlimen Bera berkata jurucakap yang membahas dalam PAU juga mengatakan PRU perlu disegerakan.

“Dan setiap kali saya pergi terutamanya di kalangan Pemuda. dia oranglah yang menjerit bubar, bubar, bubar setiap kali saya pergi. Saya pun manusia. Ada perasaan,” tambahnya lagi.

Beliau juga mendedahkan pemimpin pembangkang bertemu beliau dan meminta supaya pilihan raya tidak diadakan segera, sebaliknya menunggu sehingga habis penggal Parlimen, malah mereka sanggup memberi sokongan penuh.

“Dia (pembangkang) kata kita akan sokong Datuk. Maknanya kerajaan takkan takkan terbubar sebab pembangkang akan sokong saya. Dia (pembangkang) boleh tandatangan SD (akuan bersumpah) sokong saya

“Boleh buat undi percaya di Parlimen pun untuk sokong saya supaya terus kekal. Tapi bagi saya apa makna saya Naib Presiden UMNO (yang) survive kerajaan dengan bergantung nyawa kepada pembangkang.

“Pembangkang beri nyawa kepada saya untuk terus menjadi Perdana Menteri… sedangkan UMNO tak boleh terima kerana mereka dah buat keputusan nak cepat adakan pilihan raya,” katanya.

Ismail Sabri berkata disebabkan beliau adalah orang parti maka beliau mengikut keputusan MT dan PAU untuk mengadakan PRU lebih awal.

Pada PRU-15 lalu, BN dan UMNO mengalami kekalahan paling teruk dalam segarah politik sejak negara merdeka apabila hanya menang 30 kerusi Parlimen dengan 26 daripadanya adalah daripada UMNO.

Bagaimanapun, Zahid kemudian membawa UMNO bekerjasama dengan cikgunya Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menubuhkan kerajaan Pakatan Harapan-BN (PH-BN), dengan beliau sendiri dilantik menjadi Timbalan Perdana Menteri.

 



Comments
Loading...