Beli vaksin RM10 bilion? Putar belit Finance Twitter dan The Coverage


Let’s unspin the spin. Macamana kerajaan boleh songlap RM10 bilion kalau peruntukannya hanya RM5 bilion? Ini tak masuk akal.

Marzuki Mohamad

Saya baca beberapa hantaran dalam portal Finance Twitter dan The Coverage yang kelihatan pro-DAP dan anti-PN. Pada mulanya saya tak hirau sangat. Biasalah itu strategi media masing-masing. Namun, lama kelamaan saya perhatikan semakin banyak spin yang dibuat oleh kedua-dua portal ini.

Misalnya spin yang terbaru ialah kononnya kerajaan PN di bawah pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin telah songlap duit perolehan vaksin sebanyak RM10 bilion semasa tempoh darurat. Saya terkejut kerana saya tahu peruntukan siling yang diluluskan oleh kerajaan (kemudiannya oleh Parlimen) untuk perolehan vaksin menggunakan Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN) hanyalah RM5 bilion sahaja. Macamana kerajaan boleh songlap RM10 bilion kalau peruntukannya hanya RM5 bilion? Ini tak masuk akal.

READ MORE HERE: RM10 Billion Gone Missing : Khairy & Muhyiddin Became Very Rich From Deliberate Over-Purchase 6 Million Doses Of Covid Vaccine

Kalau spin atau putar belit ini tak dirungkai, ramai yang akan terpengaruh dengan perkara yang tak betul.

Untuk merungkai spin ini pula tidaklah susah. Isu perolehan vaksin telah dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) dalam beberapa sesi pada tahun 2021. Laporan PAC ini adalah dokumen awam yang boleh diakses di laman web Parlimen (https://www.parlimen.gov.my/pac/review/docs-234-287.pdf). Kita oleh baca laporan ini secara terperinci.

Apa yang dinyatakan dalam laporan PAC ini?

Sehingga 21 Julai 2021, iaitu tarikh darurat 2021 berakhir, kerajaan telah membuat pesanan bekalan vaksin yang mencukupi untuk 120% penduduk (sila rujuk muka surat 32 Laporan PAC).

Sehingga 21 Julai 2021, sebanyak RM1.027 bilion daripada peruntukan siling RM5 bilion telah dibelanjakan (sila rujuk muka surat 35 Laporan PAC).

(Nota: Tan Sri Muhyiddin telah meletak jawatan sebagai Perdana Menteri pada 16 Ogos 2021)

READ MORE HERE: Pengambilan dos penggalak kedua meningkat

Ini faktanya. Jadi, dari mana portal Finance Twitter dan The Coverage yang pro-DAP dapat angka RM10 bilion tu?

Kedua-dua portal pro-DAP ini juga menuduh kerajaan PN pimpinan Tan Sri Muhyiddin membuat perolehan vaksin secara berlebihan dan membazir semasa tempoh darurat. Perolehan yang melebihi keperluan ini dibuat dengan sengaja untuk songlap duit RM10 bilion.

Adakah perolehan vaksin yang mencukupi untuk 120% penduduk ini suatu pembaziran? Jawapannya bukan membazir.

Kenapa? Kerana Tan Sri Muhyiddin atas nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia pada masa itu tahu bahawa rakyat memerlukan “booster shot” atau dos penggalak. Jadi kerajaan perlu sediakan vaksin bukan untuk 100% penduduk, tetapi lebih daripada itu.

Kerana itu sebaik sahaja Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) berakhir, KKM telah melaksanakan PICK-Booster yang mensasarkan 23 juta penduduk menerima dos penggalak (https://covid-19.moh.gov.my/vaksin-covid-19/pick-dos-penggalak).

Sehingga kini 50% penduduk telah menerima dos penggalak pertama dan 2.2% telah menerima dos penggalak kedua. (https://www.kosmo.com.my/2023/01/20/pengambilan-dos-penggalak-kedua-terus-meningkat/)

Apa rumusan PAC mengenai perolehan vaksin semasa tempoh darurat?

Secara ringkasnya PAC merumuskan bahawa urusan perolehan vaksin telah dilaksanakan secara teratur mengikut tatacara kewangan yang dibenarkan oleh Kementerian Kewangan Malaysia. PAC juga berpuas hati dengan harga perolehan vaksin daripada pelbagai portfolio oleh Kerajaan yang didapati adalah munasabah. PAC juga mengakui proses perolehan vaksin bertambah proaktif dengan penubuhan Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksin (JKJAV) pada bulan Oktober 2020.

Selain itu, PAC juga berpandangan penggunaan dana KWAN bagi tujuan perolehan vaksin adalah selaras dengan objektif penubuhan KWAN tertakluk kepada perbelanjaan yang berhemah. PAC juga membuat beberapa pemerhatian lain untuk tujuan penambahbaikan (sila rujuk mukasurat 68-71 Laporan PAC).

Media pro-DAP akan terus melakukan spin terhadap PN. Ini kerana apabila BN telah berkawan dengan PH, maka PN menjadi pencabar tunggal yang utama kepada DAP. Spin mereka boleh kita rungkai dengan fakta. Maka rajin-rajinlah kita mencari fakta.

Let’s unspin the spin.

READ THE FULL REPORT HERE

 



Comments
Loading...