Presiden UMNO perlu dicabar bukti keabsahan


(Utusan) – Jawatan Presiden UMNO perlu dicabar pada pemilihan kali ini bagi membuktikan keabsahan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi untuk terus memimpin parti itu dengan sokongan padu seluruh ahli.

Ketua Pemuda UMNO Simpang Renggam, Mohd. Faizal Mohd. Said berkata, langkah itu juga sebagai bukti strategi Presiden diterima oleh akar umbi parti terutama dalam beberapa keputusan yang dibuat Ahmad Zahid sama ada benar-benar mencerminkan kehendak ahli atau sebaliknya.

Beliau berkata, antara keputusan terbesar yang dibuat Ahmad Zahid ialah membawa UMNO-BN menyertai Kerajaan Perpaduan dan ia menjadi tanda tanya adakah ia adalah keputusan sebulat suara ahli selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu.

“Pemilihan UMNO sangat kritikal bagi menentukan keabsahan Ahmad Zahid selaku Presiden parti sebagaimana proses pengesahan keabsahan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri Ke-10 di Dewan Rakyat.

“Saya percaya masih ramai pemimpin UMNO yang mempunyai kewibawaan untuk mencabar kedudukan Ahmad Zahid seperti Bendahari Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein atau bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kenyataan Mohd. Faizal itu dilihat senada dengan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Iskandar Puteri, Datuk Pandak Ahmad yang mahu kesemua ahli berhak memilih pucuk kepimpinan parti tanpa ada sekatan bagi membuktikan keabsahan setiap pemimpin yang memegang jawatan masing-masing.

Beliau berkata, sekalipun jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan, masih akan berlaku perpecahan (sokongan kepada pemimpin) memandangkan jawatan naib presiden masih dipertandingkan.

Bagaimanapun sebelum itu, Timbalan Pengerusi Badan UMNO Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed berpendapat, ahli akar umbi UMNO tidak perlu menjadikan kegagalan parti itu dalam PRU15 sebagai alasan untuk menukar pucuk kepimpinan tertinggi parti.

Justeru, beliau menyokong penuh usul agar jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan demi perpaduan dan ke arah usaha pemulihan sokongan terhadap UMNO.

 



Comments
Loading...