PRN: Sokongan terhadap PN meningkat berbanding PH-BN


(Agenda Daily) – Perikatan Nasional tidak gentar menghadapi gabungan kerjasama Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) yang menerajui Kerajaan Persekutuan dalam menghadapi pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri tidak lama lagi.

Malah, Perikatan Nasional melalui parti komponennya PAS, yakin mampu mempertahankan tiga negeri – Kedah, Kelantan dan Terengganu – selain menggugat tiga negeri di bawah pentadbiran PH, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan, dalam PRN itu.

Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, keyakinan berkenaan adalah berlandaskan sokongan yang semakin kuat kepada Perikatan Nasional di tiga negeri berkenaan terutama semasa Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) baru-baru ini.

“Saya tengok sokongan rakyat kepada PN di Kelantan, Kedah dan Terengganu semakin kuat terutama selepas rakyat melihat PH dan BN yang saling menyerang sesama sendiri sebelum PRU-15 tiba-tiba bersama dan berkawan baik.

“Kita juga dapat melihat sokongan kepada PN sangat kuat pada PRU-15 lalu dan kita yakin dapat mempertahankan kemenangan di tiga negeri berkenaan pada PRN nanti,” katanya kepada media selepas menyampaikan kuliah pagi di Medan Ilmu, di Kota Bharu, hari ini (6 Januari 2023).

Ahli Parlimen Kubang Kerian memberitahu, faktor utama peningkatan sokongan rakyat kepada PN adalah kestabilan politik dan pencapaian baik di tiga negeri di bawah pentadbiran PAS itu.

“Semua pihak harus akur bahawa pencapaian di Kelantan, Terengganu dan Kedah dalam konteks pelaburan serta perancangan pembangunan berjalan dengan baik dan rakyat boleh melihat dengan jelas perkara ini,” katanya seperti dilapor Utusan.

Mengulas isu berasingan, Tuan Ibrahim berkata, PAS tidak melihat keputusan kerajaan negeri Kedah menutup semua premis perjudian akan memberi kelebihan kepada BN dan PH pada PRN itu nanti.

Katanya, ini kerana Kelantan juga telah lama mengisytiharkan penutupan premis perjudian dan berdasarkan pengalaman, keputusan itu dapat diterima baik oleh pengundi bukan Islam.

“Walaupun jumlah pengundi bukan Islam mungkin sedikit di Kelantan tetapi ia menunjukkan bahawa keputusan menutup terus premis perjudian diterima secara positif oleh mereka.

“Jadi ia tidak menjadi ukuran kepada sokongan pengundi bukan Islam di Kedah. Kalau mahu mengukur kejayaan dalam pilihanraya, maka PRU-15 baru-baru inilah ukurannya,” katanya.

 



Comments
Loading...