Zuraida dipecat daripada PBM


(Malaysia Post) – DATUK Zuraida Kamaruddin akhirnya dipecat daripada Parti Bangsa Malaysia (PBM), hari ini.

Bekas Ahli Parlimen Ampang itu dipecat bersama Setiausaha Agung PBM Nor Hizwan Ahmad dan 11 yang lain.

Menurut kenyataan Unit Perancangan PBM, pemecatan mereka kerana gagal memberi maklum balas kepada Jawatankuasa Disiplin PBM dalam tempoh tujuh hari.

Terdahulu, mereka antara 13 individu telah diberi surat tunjuk sebab oleh Jawatankuasa Disiplin PBM pada 19 Disember lalu.

Selain Zuraida dan Hizwan, PBM juga memecat Naib Presiden 1, Rahimah Majid; Naib Presiden 2, Dr Sathiskumar; Naib Presiden 3, Muhammad Saiful Bahari Sahari; Ketua Pemuda, Na’im Brundage; dan Ketua Penerangan, Zakaria Abdul Hamid.

Turut dipecat empat Ahli Majlis Tertinggi PBM Abd Aziz Ab Kadir, Zakaria Abdul Rahim, Roger Tan Seng Huat dan Albakri Salim.

Bagaimanapun PBM hanya memecat Timbalan Presiden 1 Haniza Mohamed Talha dan Ketua Wanita, Dr Daroyah Alwi dari jawatan, dan mereka berdua masih kekal sebagai ahli biasa.

Unit penerangan PBM turut memaklumkan bahawa tindakan ke atas 13 individu itu dibuat selepas Ahli Jawatankuasa Disiplin membuat perbincangan lanjut hari ini mengikut Perlembagaan parti.

“Mereka telah diberi peluang untuk menjelaskan dan membela diri dan diberi tempoh tujuh hari, akan tetapi telah gagal memberikan maklum balas kepada Jawatankuasa Disiplin Parti PBM.

“Maka dengan ini, demi kepentingan Parti PBM, Jawatankuasa Disiplin PBM telah membuat keputusan bahawa keahlian, jawatan individu-individu tersebut ditamatkan berkuat kuasa serta-merta pada 27hb Disember 2022,” katanya.

Sebelum ini, Zuraida membidas Presiden PBM Larry Sng sebagai tidak matang dan angkuh dalam menguruskan PBM selain membuat ugutan.

Susulan itu, Sng memberi respons kepada Zuraida supaya berhenti daripada politik dan muhasabah diri kerana pengundi di Ampang turut menolak bekas menteri itu pada pilihan raya umum ke-15.

 



Comments
Loading...