Anwar harus saman media antarabangsa atas dakwaan ‘homoseksual tegar’, kata ketua pembangkang


Hamzah Zainudin menggesa kerajaan dipimpin Anwar Ibrahim perlu mengambil tindakan tegas berhubung penerbitan artikel tersebut kerana ia berkait dengan imej negara.

(Malaysia Now) – Ketua Pembangkang Hamzah Zainuddin mencabar Perdana Menteri Anwar Ibrahim supaya mengambil tindakan terhadap media antarabangsa yang mengeluarkan laporan hingga boleh mencemarkan imej negara.

Beliau menggunakan contoh laporan media dari Itali Agenzia Nova yang menerbitkan artikel bertajuk “First Full-blown Homosexual Elected Prime Minister in an Islamic Country”.

“Tindakan tegas harus diambil,” kata setiausaha agung Perikatan Nasional (PN) itu di Dewan Rakyat hari ini.

“Kerajaan bertanggungjawab untuk memaklumkan kepada seluruh dunia bahawa Tambun (Anwar) sudahpun diberi pengampunan oleh Yang di-Pertuan Agong.”

Tambahnya, Anwar tidak wajar sekadar menjadi jaguh kampung kerana hanya berani mengambil tindakan terhadap mereka di dalam negara sahaja.

“Betul! Dulu Tambun telah dihukum oleh mahkamah kerana keasalah luar tabiinya, tetapi sekarang sudah bebas kerana telah diberi pengampunan.

“Jangan dibiarkan sehingga dunia percaya seolah-olah PM Malaysia pengamal homoseksual tegar. Ini cerita lama,” tambah beliau.

Selain itu, Hamzah berkata, PN turut bersedia untuk menjadi pembangkang yang berwibawa dan mengambil alih kerajaan apabila tiba masanya.

Hamzah berkata, memandangkan Anwar sudah menjadi perdana menteri dan memegang portfolio menteri kewangan adalah tidak wajar untuk beliau membuat tuduhan sombrono dan timbulkan persepsi buruk terhadap kerajaan lama.

Katanya, sekiranya terdapat apa-apa kesalahan yang dilakukan mana-mana individu, Anwar yang juga ahli Parlimen Tambun kini mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan sewajarnya.

READ MORE HERE

 



Comments
Loading...