Umno terus gali kubur sendiri, kata Tun Faisal


Bekas timbalan ketua Umno Putrajaya berkata parti itu tidak belajar daripada kesilapan apabila Barisan Nasional memutuskan untuk bekerjasama dengan Pakatan Harapan selepas PRU15.

(MalaysiaNow) – Umno kini sedang menggali kuburnya sendiri, namun kedalaman kubur itu masih belum ditentukan, kata bekas timbalan ketua Umno Bahagian Putrajaya, Tun Faisal Ismail Aziz.

Beliau berkata, ini kerana parti itu masih tidak belajar daripada kesilapan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 2018 apabila tewas buat pertama kali kepada Pakatan Harapan (PH), dan terus membuat kesilapan menjelang PRU15.

Menurut Faisal penolakan utama terhadap Umno berpunca daripada latar belakang pemimpin yang mempunyai liabiliti yang mana ini dilihat menjejaskan reputasi parti itu pada PRU15.

Akibatnya, beliau berkata, pengundi termasuk penyokong Umno dan ahli yang tiada jawatan lari ke Perikatan Nasional (PN) kerana “merajuk” dan tidak setuju dengan pendirian presiden, Ahmad Zahid Hamidi.

“Bukan saja kalah dari segi Barisan Nasional (BN) yang merosot daripada 79 kerusi kepada 30 kerusi, Umno sendiri jatuh kepada 26 kerusi daripada 54 kerusi yang diperoleh pada PRU14,” katanya dalam satu wawancara bersama media.

Bagi menunjukkan situasi yang lebih buruk, Faisal berkata, peralihan undi ke PN itu menyebabkan Umno kehilangan Perlis, serta parah di Perak dan Pahang dan nyaris terkubur di Wilayah Persekutuan.

Lebih menyedihkan, katanya, kehadiran ahli Parlimen BN di Kedah, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu dan Melaka terus terkubur, malah prestasi presiden Umno sendiri yang bertanding di Bagan Datuk hanya berjaya menang dengan majoriti tipis 348 undi.

Menurut Faisal, Umno terus menggali kubur selepas PRU15 apabila Zahid enggan mengambil tanggungjawab berundur sebagai presiden parti seperti yang dilakukan Najib Razak pada 2018.

“Lepas itu gali kubur lagi dalam apabila membawa Umno bekerjasama dengan PH.

“Mereka (pengundi dan penyokong) rasa dikhianati kerana undi Umno sebab ‘No Anwar, No DAP’ tetapi akhirnya bekerjasama,” katanya.

Read more here



Comments
Loading...