Sebelum ini Zahid kata tiada akujanji, sekarang dakwa ada pula?


Agenda Daily) – Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan mana-mana Ahli Parlimen (MP) yang melanggar akujanji memberi mandat kepadanya untuk menentukan apa-apa gabungan politik, akan menerima akibat ‘hilang kerusi Parlimen yang dimenangi dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15)’.

Kenyataan Zahid yang disiarkan dalam laman Facebook rasmi BN dan UMNO malam ini, sekali gus menunjukkan semua calon UMNO telah menandatangani akujanji sebagaimana laporan yang dinafikan beberapa pemimpin sebelum hari penamaan calon baru-baru ini.

Sebelum ini, tular surat yang antara lain menghendaki semua calon UMNO yang bertanding atas tiket BN supaya setia dan patuh kepada arahan Zahid.

Kandungan utama surat tersebut meminta semua calon UMNO dan BN menyokong Zahid sebagai calon Perdana Menteri sekiranya BN memenangi PRU-15 pada 19 November nanti.

Dalam surat tersebut semua calon juga perlu bersetuju supaya kes mahkamah yang sedang dihadapi pemimpin UMNO digugurkan dan siasatan dihentikan dengan serta-merta.

Dalam kenyataan malam ini, Zahid berkata semua MP BN yang memenangi PRU-15 telah menandatangani akujanji dan memberi mandat kepadanya selaku presiden untuk menentukan apa-apa gabungan politik dalam penubuhan kerajaan.

“Sehubungan ini, mana-mana Ahli Parlimen yang melanggar arahan parti akan mengakibatkan pelepasan keahlian parti termasuk kerusi Parlimen, selaras dengan undang-undang larangan Ahli Dewan Rakyat bertukar parti seperti termaktub di bawah Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Pada 3 November lalu, Zahid menafikan calon parti komponen BN menandatangani surat aku janji itu.

Beliau berkata, dalam usaha BN berusaha menyebarkan kebenaran, terdapat pihak yang gigih menularkan surat aku janji palsu yang kononnya perlu ditandatangani oleh calon UMNO.

Zahid yang menang tipis di kerusi Parlimen bagan Datuk juga memaklumkan tiada sebarang perundingan dengan Perikatan Nasional setakat ini yang boleh membawa maksud wujud persefahaman untuk membentuk kerajaan.

Laporan sebelum ini menyatakan Zahid bakal membawa UMNO bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) diketuai rakan baiknya Datuk Seri Anwar Ibrahim dan DAP.

Langkah diambil Zahid ini mencetuskan pergolakan lebih hebat di dalam UMNO dan BN, sama ada beliau telah mendapat nasihat daripada Anwar yang juga cikgunya.

Bagaimanapun, beberapa MP UMNO yang menyedari perkara itu mula mendesak Zahid berundur, selain ada yang mengisytiharkan secara terbuka menyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri.

Bendahari BN Datuk Seri Hishammuddin Hussein secara terbuka menolak kerjasama BN dan PH, manakala MP Jelebu Datuk Seri Jalaluddin Alias membuat kenyataan menyokong Muhyiddin sebagai Perdana Menteri dan setuju bekerjasama dengan Perikatan Nasional.

 



Comments
Loading...