‘Pemimpin PAS, BERSATU ada jumpa UMNO runding bentuk kerajaan gabungan’


(Berita Harian) – Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa pemimpin Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) sudah memulakan rundingan untuk membentuk gabungan bagi mendirikan kerajaan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Anwar mendakwa, kedua-dua gabungan parti itu sudah membuat rancangan berkenaan, selepas masing-masing ketinggalan dalam persaingan, ketika hari mengundi semakin hampir.

“Apa yang saya tahu, mereka ada berjumpa. Orang PAS; BERSATU ada berjumpa (Bendahari BN Datuk Seri) Hishamuddin (Hussein) dan (Timbalan Pengerusi BN), Mat Hassan (Datuk Seri Mohamad Hassan).

“Mereka sudah mula berunding kerana dia tahu, dia sudah ke belakang. Jadi, kenapa tidak beritahu rakyat terang-terang?

“Jadi, semua cakap …soal kutuk sana, kutuk sini, tolak UMNO, UMNO tolak PAS dan BERSATU, itu wayang kulit saja,” katanya selepas program temu rapat bersama pengundi di Sekinchan, Sungai Besar, hari ini.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, hari ini, mendedahkan parti itu akan bergabung dengan BN pasca PRU15 jika pihaknya tidak mendapat kerusi yang cukup untuk membentuk kerajaan.

Takiyuddin berkata, pendirian parti itu jelas untuk bergabung dengan BN dan bukannya PH.

Bagaimanapun, Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata gabungan itu tidak pernah memberi mandat kepada Takiyuddin untuk berunding dengan BN dan tujuan PN bertanding dalam PRU15 adalah untuk membentuk kerajaan tanpa perlu bergabung dengan BN atau PH.

Anwar yang juga Presiden PKR, berkata PH tetap istiqamah dan mempunyai dasar perjuangan yang jelas.

“Sebab itu, kita dalam PH, jika kita nak bawa perubahan, kita tolak kedua-dua pemain wayang ini dan pertahankan (perjuangan) kerana PH nak menang serta mentadbir dengan agenda perubahan yang baharu,” katanya.

 



Comments
Loading...