Mungkin berlaku ‘tsunami politik 2.0’, kata Muhyiddin


(Utusan TV) – TAN Sri Muhyiddin Yassin berkata, ‘tsunami politik 2.0’ mungkin sekali lagi berlaku di negara ini yang boleh membersihkan Malaysia daripada segala kemungkaran.

Beliau yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) menjelaskan, beliau dapat merasai gelombang pembaharuan itu lebih-lebih lagi di kawasan Felda yang dahulunya kubu kuat Barisan Nasional (BN).

Menurutnya, ini dapat dilihat daripada kehadiran ramai warga Felda ke program Jelajah Perikatan Nasional PN BEST khasnya kalangan peneroka dan keluarga termasuk generasi kedua yang mahukan anjakan baharu dalam kehidupan mereka.

“Doakanlah agar gelombang ini semakin besar dan mampu membantu PN membentuk kerajaan selepas 19 November ini, agar kita dapat menyelamatkan negara dan terus melindungi hak-hak agama, bangsa dan negara kita,” katanya menerusi catatan di Facebook.

Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu berkata, beliau juga bersyukur program Jelajah PN BEST Indera Mahkota di Balok turut mendapat sambutan hangat daripada pengundi sekitar, yang sanggup hadir walaupun hujan lebat.

“Mungkin kali ini akan berlaku ‘tsunami politik 2.0’ yang boleh membersihkan bumi tercinta ini daripada segala kemungkaran.

“Kita tidak mempunyai pilihan lain selain mengundi Perikatan Nasional, jika mahukan sebuah kerajaan yang prihatin rakyat, bersih dari segi tadbir urus dan stabil untuk membawa ke arah Malaysia Gemilang,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai program jelajahnya di Felda Lepar Hilir 3, Pahang, semalam Muhyiddin mengakui bahawa peneroka dan Felda cukup sentimental di hati beliau.

Malah katanya, malah beliau tidak pernah melupakan warga Felda dan amat memahami keadaan kehidupan mereka.

“Sebab itu tidak sampai setahun saya menjadi Perdana Menteri, saya telah melupuskan hutang peneroka Felda bernilai RM8.3 bilion.

“Itulah antara keputusan yang Kerajaan Perikatan Nasional sebelum ini lakukan untuk membalas jasa peneroka yang telah memberi sumbangan signifikan terhadap ekonomi negara,” katanya.

Disebabkan itu, Muhyiddin yang juga Pengerusi Majlis Pemulihan Negara berkata, di dalam Tawaran PN, terdapat tunjang khusus Memperkasa Warga Felda, yang antara lain menyediakan perumahan untuk generasi kedua.

“Kita hendak terus membela nasib para peneroka termasuk anak-anak mereka. Ini janji kita. Percayalah. Kita telah melakukannya tanpa menunggu pilihan raya pun,” tambahnya.

 



Comments
Loading...