Anwar dakwa tentera di Bera mengundi hari ini, dibayar RM300
(Malaysia Post) – PENGERUSI Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa ada anggota tentera khususnya dalam kawasan parlimen Bera di Pahang sudah mengundi untuk Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Beliau yang juga Presiden PKR turut mendakwa anggota tentera terbabit dibayar RM300 untuk berbuat demikian.
“Saya dapat maklumat sahih bahawa anggota tentera, undi pos telah mula mengundi pagi ini, (dan ia) melanggar peraturan SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya), terutama untuk (kawasan) parlimen Bera dan (mereka) dibayar RM300,” katanya ketika berucap di majlis ramah mesra di Kuala Terengganu hari ini, lapor Malaysiakini.
Anwar yang juga calon PH bagi Parlimen Tambun menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyiasat kejadian tersebut.
“Saya nak nasihatkan SPR, supaya mengambil tindakan tegas sekarang supaya tidak mencemarkan pelaksanaan pilihan raya,” katanya.
Mengulas lanjut, Anwar juga menyifatkan situasi tersebut jelas keadaan Umno-Barisan Nasional (BN) berada pada tahap yang ‘parah’.
“Jelas, Ismail Sabri Yaakob (Datuk Seri) dan Menteri Pertahanan (Hishamuddin Hussien) cemas.
“Mereka tahu BN berada di tahap paling parah sekarang dan mereka bersekongkol dengan PN untuk memastikan ada penipuan dalam proses pilihan raya,” katanya.
Sementara itu, kesal dengan kejadian tersebut, Anwar turut meminta keadaan dibetulkan.
Katanya, sehubungan itu undi yang dibuat anggota tentera itu perlu dibatalkan dan perlu mengundi semula pada tarikh pengundian awal yang dinyatakan SPR iaitu pada 15 November.
SPR menetapkan 19 November ini sebagai hari pengundian bagi PRU15.
Sementara, hari penamaan calon pula ditetapkan pada 5 November, manakala hari pengundian awal pada 15 November.