Tun M ulangi kesediaan kerjasama dengan pembangkang


(Berita Harian) – Tun Dr Mahathir Mohamad mengulangi kesediaannya bekerjasama dengan pemimpin pembangkang pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Pengerusi penaja Gerakan Tanah Air (GTA) itu berkata, kesediaan itu dibuat berdasarkan pendiriannya yang masih mengekalkan prinsip perjuangan untuk menjatuhkan kerajaan terpalit kontroversi rasuah.

Sehubungan itu, katanya, tidak timbul isu sama ada beliau mahu bekerjasama dengan pemimpin pembangkang lain pada PRU15 atau sebaliknya.

“Yang saya tidak pasti ialah jika pemimpin pembangkang hari ini berubah fikiran dan perasaan atau bersedia bekerjasama dengan UMNO selepas PRU15.

“Saya juga tidak pasti jika pemimpin pembangkang masih berasakan UMNO akan merosakkan negara jika kembali memimpin dan membawa kembali kleptokrat untuk memerintah.

“Kerana itu, saya tidak memulakan langkah kecuali dengan mereka yang saya yakin berfikiran sama. Bagi pemimpin pembangkang lain, kali ini terserah kepada mereka,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

BH sebelum ini melaporkan Pengerusi PEJUANG itu akan mempertimbang untuk menjalin kerjasama dengan pembangkang pada PRU15 dan ia antara cadangan dikemukakan ahli parti pada Mesyuarat Majlis Eksekutif Pusat PEJUANG, Mac lalu.

Minggu lalu, penyandang kerusi Parlimen Langkawi itu dilaporkan berkata, sedia untuk bertemu dan berbincang dengan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkenaan PRU15 kerana kedua-dua pihak mempunyai matlamat sama, selain menegaskan tidak kisah jika ada yang melabelnya tidak malu kerana sedia bertemu Anwar.

Rentetan itu, Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar pula dilaporkan berkata, pihaknya hanya mahu menumpukan pengukuhan Pakatan Harapan (PH) daripada kerjasama dengan pihak lain.

Mengimbau kerjasama pada PRU14, Dr Mahathir berkata, kesediaan beliau menjalinkan kerjasama dengan Anwar yang juga Pengerusi PH kerana ketika itu beliau beranggapan negara berdepan kerosakan amat besar akibat perbuatan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan kleptokrat dalam kerajaan.

Sehubungan itu, beliau mengetepikan perasaan peribadi dan sanggup menelan kecaman ‘jilat ludah sendiri’ apabila bertemu musuhnya termasuk Anwar untuk menjatuhkan musuh negara.

“Saya rasa Anwar ketika itu juga berfikir seperti saya dan sebab itu dia sanggup bekerjasama dengan saya. Saya ketika itu, sanggup memulakan langkah jika yang lain tidak sanggup memulakannya.

“Kenyataan itu adalah rujukan kepada apa yang berlaku sebelum PRU14 dan menjelaskan kenapa saya sanggup bekerjasama dengan musuh politik, ketika itu.

“Keputusan saya ketika itu, membuahkan hasil hingga pembangkang berjaya jatuhkan kerajaan yang rasuah dan merompak harta negara,” katanya.

 



Comments
Loading...