PAS guna lambang ‘bulan’ di Kelantan, Terengganu, Kedah


(Bernama) – PAS memutuskan untuk menggunakan lambang parti itu sendiri di Kelantan, Terengganu dan Kedah pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Presidennya, Abdul Hadi Awang berkata, PAS terbuka mengenai penggunaan simbol lain bagi negeri selain tiga negeri pimpinannya, yang akan dibincangkan di peringkat Perikatan Nasional (PN).

PAS merupakan parti komponen PN, selain Bersatu, Gerakan, Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Maju Sabah (SAPP).

“Terengganu, Kelantan dan Kedah memang PAS kuat, (jadi) kita pakai simbol ‘bulan’. Negeri lain kita serah hendak pakai simbol apa. Kita buat keputusan, kita akan bincang.

“Negeri lain ini mereka tidak berapa tahu hal-hal PAS. Orang Kelantan, Terengganu dan Kedah sudah tahu.

“Negeri lain tidak apalah, kita maafkanlah,” katanya ketika menyampaikan kuliah dhuha sempena Karnival Terengganu Maju Berkat Sejahtera di Pantai Peranginan Kelulut.

Semalam, Hadi dilaporkan berkata, PAS memutuskan untuk memperkukuhkan kerjasama dalam PN atas prinsip penyatuan ummah.

 



Comments
Loading...