Ada pemimpin Umno rasuah, rakus kuasa punca PAS tangguh kerjasama, kata Hadi


(FMT) – Ada pemimpin Umno yang rakus mahu memerintah negara dan menerima rasuah antara punca PAS menangguhkan hasrat bekerjasama dengan parti itu, kata Abdul Hadi Awang.

Presiden PAS itu berkata, penangguhan itu bagi membolehkan Umno dan Barisan Nasional (BN) menjernihkan kekeruhan berkenaan.

Katanya, PAS memilih untuk bersama Perikatan Nasional (PN) berbanding menjalin kerjasama dengan BN bagi menghadapi pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

“Sebelum ini, PAS termasuk Bersatu saling bekerjasama menjatuhkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) sehingga terbentuk kerajaan (diterajui perdana menteri daripada Umno).

“Tetapi disebabkan ada kalangan pemimpin Umno yang ‘gelenyar’ dan tidak sabar memerintah, menyebabkan Parlimen dibubarkan bagi membolehkan PRU15 diadakan,” katanya dipetik Berita Harian ketika menyampaikan kuliah Dhuha di Marang, Terengganu.

Penyandang kerusi Parlimen Marang itu mendedahkan beliau didatangi beberapa individu yang meminta kerjasama dengan Umno diteruskan.

Beliau turut membuat perumpamaan kerjasama antara PAS dengan Umno dan BN seperti memakan “durian mentah” yang boleh menyebabkan seseorang mengalami sakit perut.

“PAS menolak pemberi dan penerima rasuah dalam Umno, sama seperti PH yang ada pemberi dan penerima rasuah.

“Kegopohan Umno untuk mendapatkan kuasa, sedangkan kita minta pembubaran Parlimen ditangguhkan disebabkan ingin memberi tumpuan kepada banjir, tidak diendahkan hingga akhirnya dibubarkan juga.

“Jadi, biarlah Umno dan BN menjernihkan dulu kekeruhan yang ada, sementara kita menangguhkan kerjasama ini,” katanya.

 



Comments
Loading...