Umno atau Bersatu, dilema PAS pada PRU15


Kerjasama dengan salah satu antara dua parti itu memberikan kelebihan dan kekurangannya yang tersendiri kepada PAS.

(Malaysia Now) – Ketika momentum saingan semakin meningkat menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dalam tempoh dua bulan akan datang, perhatian kini tertumpu kepada PAS dan kedudukan uniknya antara parti Melayu utama negara, iaitu Bersatu dan Umno.

Boleh dikatakan, tiada parti yang lebih berpengalaman dalam membentuk kerjasama politik di negara ini selain daripada PAS.

Sejarah politik parti tanah air banyak kali menyingkap usaha jalinan kerjasama PAS sebagai sebuah parti yang bertolak ansur terhadap perkara yang mungkin tidak boleh diterima oleh parti lain untuk dikompromi.

Pada Pilihan Raya Umum (PRU) tahun 1959, PAS pernah memberikan kerusi Parlimen Kuala Terengganu (Selatan) kepada Presiden Parti Negara, Onn Jaafar selepas pengasas Umno itu meninggalkan parti asalnya.

PAS juga pernah bekerjasama dengan Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah apabila beliau bertindak meninggalkan Umno dan menubuhkan Parti Semangat 46.

Kemudian, pada tahun 1999 hingga 2001, PAS menjalin kerjasama politik dengan DAP dan PKR menubuhkan Barisan Alternatif sebelum gabungan itu dibubarkan.

Kerjasama tiga parti itu kembali terjalin melalui Pakatan Rakyat (PR) dari tahun 2008 hingga 2015 sebelum gabungan tersebut berkubur ekoran tindakan parti pimpinan Anwar Ibrahim itu memecat Abdul Khalid Ibrahim sebagai menteri besar Selangor.

Selepas PRU14 yang menyaksikan kejatuhan kerajaan Barisan Nasional (BN), PAS bersama-sama Umno memeterai satu piagam dinamakan Muafakat Nasional (MN) menjurus kepada penyatuan ummah.

Bibit-bibit konflik mula timbul selepas PAS mengumumkan menggunakan lambang Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang disifatkan oleh pemimpin Umno sebagai “curang” terhadap perjanjian MN.

PN ditubuhkan pada Februari 2020 dengan sokongan daripada Bersatu, Umno, PAS, Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan beberapa parti lain untuk mengambil alih pentadbiran Pakatan Harapan (PH) yang terkubur.

Pada 30 Julai tahun yang sama, Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan parti itu tidak menyertai PN secara rasmi.

Sejak itu, PAS berada dalam dilema bagi memutuskan dengan siapakah mereka akan bekerjasama bagi menghadapi PRU15.

Sehingga kini, tiada kata muktamad dari PAS berhubung hal ini meskipun tarikh mengundi PRU15 bakal diumumkan dalam masa terdekat.

Pemerhati politik veteran, Chandra Muzaffar berkata masih terlalu awal untuk meramal keputusan PAS membentuk gabungan politik.

Ini kerana, katanya, kerjasama boleh dilakukan sebelum ataupun selepas PRU15 diadakan.

Tambahnya lagi, PAS masih tiada keputusan berkemungkinan kerana parti itu masih tidak jelas dengan kedudukan BN dan PN yang masing-masing dilihat mempunyai masalah dalaman sendiri.

Menurut Chandra, seperti yang diketahui BN kini mempunyai banyak puak dan menyifatkan perkembangan itu sebangai satu masalah besar kepada gabungan tersebut.

Malah, katanya, terlalu banyak perbezaan pendapat dan pandangan dalam kalangan pemimpin Umno menjadikan parti itu amat bermasalah.

“Kalau kata siapakah individu atau kumpulan yang mewakili suara parti, susah nak cakap.

“Adakah Zahid? Adakah pemimpin lain seperti Najib Razak yang mewakili puak Umno? Ataupun Khairy Jamaluddin atau Hishammuddin Hussein?

“Memang tak jelas (kedudukan) sebabkan berpuak-puak ini,” kata Chandra kepada MalaysiaNow dalam sesi wawancara di pejabatnya di Petaling Jaya baru-baru ini.

Pada Isnin, Naib Presiden Umno Mohamed Khaled Nordin menegaskan PAS gagal memenuhi syarat yang ditetapkan parti itu bagi menjalin kerjasama menghadapi PRU15.

Tiga syarat yang ditemukan oleh Zahid adalah keluar daripada PN, putuskan hubungan politik dengan Bersatu dan umum secara rasmi sudah berpisah sepenuhnya dengan PN dan Bersatu.

Sebelum ini, kepimpinan PAS menyelar syarat-syarat tersebut sebagai tidak sesuai dan bertentangan dengan semangat bermuafakat yang dijunjung antara kedua-dua parti itu.

Bercakap kepada MalaysiaNow minggu lalu, Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man berkata pihaknya juga mempunyai hak untuk menyenaraikan syarat-syarat tertentu dalam usaha menjalin kerjasama dengan mana-mana parti politik.

READ MORE HERE

 



Comments
Loading...