Siasat Tommy jual Equanimity harga rendah – Sian See


(Malaysia Gazette) – Pihak berkuasa perlu menyiasat pengakuan Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas bahawa beliau telah menjual kapal persiaran Equanimity pada harga lebih rendah daripada yang ditetapkan mahkamah.

Pengakuan tersebut dibuat oleh Tommy dalam bukunya yang kontroversi, My Story: Justice in the Wilderness.

Penganalisis politik, Lim Sian See secara sinis berkata, Tommy mungkin boleh dianggap sebagai jurujual paling berjaya di Malaysia.

Menurut beliau, Tommy menjual kapal secara sambilan, tidak pernah bertemu dengan pembeli sebelum itu manakala pembeli datang ke rumahnya untuk membeli kapal dan tidak pernah melihat Equanimity.

“Tommy mencatatkan nilai jualan lebih setengah bilion ringgit (AS$126 juta) dalam masa kurang setengah jam di rumahnya dalam pertemuan pertamanya dengan pembeli, walaupun nilainya kurang AS$4 juta daripada harga rizab minimum yang ditetapkan oleh mahkamah.

“Tidak tahulah kalau ada manfaat lain seperti insentif atau potongan cukai berbilion ringgit. Pihak berkuasa perlu menyiasatnya seperti yang disyorkan oleh Pasukan Petugas Khas mengenai buku Tommy.

“Tetapi, jika tiada manfaat atau rundingan lain, guru-guru jualan patut menulis buku mengenai kemahiran jualan Tommy yang menakjubkan,” katanya dalam hantaran Facebook miliknya hari ini.

Equanimity yang sebelum ini dimiliki ahli perniagaan dalam buruan, Jho Low disita kerajaan Pakatan Harapan (PH) kerana dikatakan mempunyai kaitan dengan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Dalam bukunya, Tommy menulis, beliau berjumpa dengan Pengerusi Genting Berhad, Tan Sri Lim Kok Thay bagi menjual Equanimity melalui orang tengah di kediamannya pada 20 Mac 2019.

Selepas berbual selama kira-kira 20 minit, Tommy mengemukakan cadangan menjual Equanimity kepada Genting dan Kok Thay terus bersetuju.

“Saya memberitahunya harga rizab yang ditetapkan oleh mahkamah adalah AS$130 juta, di mana beliau tahu harga yang sepatutnya ditawarkan oleh Genting adalah sama atau lebih tinggi.

“Tan Sri Lim kata harga tertinggi yang boleh dibayarnya adalah AS$126 juta. Saya terus bersetuju. Kira-kira 10 minit kemudian, Tan Sri Lim beredar,” katanya.

Beliau menganggap pertemuan itu sebagai ‘setengah jam yang paling menguntungkan dalam kerjaya profesionalnya’ iaitu menjual aset negara pada harga AS$126 juta kepada sebuah syarikat multinasional Malaysia yang terkenal di peringkat global.

“Saya berkongsi berita gembira itu dengan Perdana Menteri dan pasukan perundangan. Semua orang gembira,” jelasnya.

 



Comments
Loading...