Radzi sahkan menteri PN hantar warkah kepada Agong


Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Dr Radzi Jidin mengesahkan 12 menteri Perikatan Nasional (PN) mengutus warkah kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, semalam.

(Harian Metro) – Ia berhubung pendirian gabungan itu yang tidak mahu Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) diadakan pada tahun ini.

“Saya boleh sahkan bahawa memang kami menteri daripada PN telah mengutus warkah kepada Yang di-Pertuan Agong memohon agar tidak dilaksanakan PRU pada masa terdekat.

“Apa yang paling penting kita dalam kerajaan ingin menumpukan kepada perkara berkaitan dengan kebajikan rakyat,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Sambutan Dekad Bahasa Kebangsaan Sektor Pendidikan 2022, di sini, hari ini.

Katanya, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob juga mungkin sudah maklum mengenai warkah yang diutuskan, selepas perkara itu dilaporkan media.

“Ini adalah pendirian menteri PN,” katanya.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan PN sudah menerima senarai nama calon yang dicadangkan Bahagian Bersatu seluruh negara untuk bertanding pada PRU-15 dan ia sedang ditapis dengan teliti sebelum memutuskan calon layak.

Katanya, bilangan kerusi yang akan ditandingi juga bergantung kepada keputusan parti.

“Banyak kriteria yang ditetapkan tetapi apa yang paling penting calon yang bersih dan berintegriti selaras dengan matlamat dan objektif parti memperjuangkan sebuah negara yang penuh integriti, cekap pemerintahan dan mempunyai tadbir urus yang baik,” katanya yang turut menyatakan akan bertanding sekiranya mendapat restu parti.

Beliau berkata, sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Calon Bersatu, beliau melihat pelbagai sudut termasuk permintaan sayap wanita untuk komposisi calon kira-kira 30 peratus wanita.



Comments
Loading...