‘Jawab dulu bagaimana kes rasuah Guan Eng boleh gugur’ – soal Asyraf Wajdi


(Malaysia Post) – Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki membidas tindakan Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) yang menuntut penjelasan pendakwaan kerana gagal membuktikan kes prima facie terhadap Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Asyraf Wajdi berkata, sepatutnya Ahli Parlimen PH termasuk Lim Guan Eng perlu terlebih dahulu menjawab dua soalan ‘mudah’ berkaitan kes rasuah membabitkan beliau yang juga Pengerusi DAP.

“Bagaimana individu (Guan Eng) yang mengaku seorang akauntan yang gagal dan sedang melalui perbicaraan kes rasuah boleh pula dilantik sebagai Menteri Kewangan untuk menjaga duit negara sehingga Malaysia menjadi pasaran saham paling corot dalam dunia bahkan banyak pula aset negara yang dijarah?

“(Serta) bagaimana pula kes rasuah Guan Eng boleh digugurkan oleh Jabatan Peguam Negara di tengah-tengah perbicaraan setelah Mahkamah memutuskan ada kes prima facie, bahkan 25 saksi telahpun dipanggil di mahkamah?” katanya menerusi Facebook.

Asyraf Wajdi berkata, beliau juga percaya rakyat masih menunggu jawapan bagi kedua-dua persoalan berkenaan kerana ia masih belum ada jawapan selepas empat tahun berlalu.

Semalam, media melaporkan, Ahli Parlimen pembangkang menggesa pihak pendakwaan menjawab berhubung kegagalan mereka membuktikan kes terhadap Ahmad Zahid Hamidi atas tuduhan rasuah.

Selain ada yang menggesa Peguam Negara memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi itu.

Guan Eng berkata, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan pejabat peguam negara perlu menjelaskan kegagalan mereka membuktikan kes prima facie terhadap Ahmad Zahid.

“Berdasarkan keputusan hakim, mereka (pihak pendakwaan) telah gagal, jabatan peguam negara dan SPRM mesti jawab,” katanya.

 



Comments
Loading...