Badan Kehakiman Digeruni: Pandangan Yang Lain


Semenjak artikel yang dikeluarkan oleh Raja Petra yang bertajuk “Shocking Revelation: Najib’s Trial Judge Nazlan’s Conflict-of-Interest Exposed” pada 14 Mac 2022 di blog Malaysia Today miliknya, kita hanya menerima berita daripada sebelah pihak sahaja, samaada ia daripada kenyataan akhbar Ketua Pendaftar Mahkamah, Majlis Peguam Malaysia, Pengerusi dan Naib Pengerusi DAP, Ketua Hakim Negara, akhbar The Edge Malaysia, atau Dr. Shad Saleem Faruqi.

Tun Abdul Hamid, Bebas News

Dalam artikel ini, saya memberikan pandangan yang bertentangan dengan tujuan semata-mata untuk memberikan hujah umum bagi kedua-dua pihak supaya mereka berada dalam kedudukan yang lebih baik untuk membuat keputusan mengenai isu tersebut. Saya tidak mengatakan bahawa yang saya betul dan mereka salah, dan saya juga tidak mengatakan bahawa Raja Petra juga tidak betul atau Hakim Mohd Nazlan salah, atau sebaliknya.

Saya merujuk kepada kenyataan Majlis Peguam dan artikel dalam The Edge Malaysia. Ia mengatakan bahawa Raja Petra dan ahli politik terutamanya penyokong Najib menakut-nakutkan Badan Kehakiman. Sama ada itu benar atau tidak, bukankah ia boleh dikatakan bahawa mereka juga menakut-nakutkan SPRM daripada menjalankan tugasnya?

Mereka seolah-olah lupa bahawa SPRM yang menyiasat Najib sehingga membawa kepada sabitan kesalahannya. Sekarang, hanya disebabkan dakwaan dibuat terhadap hakim yang telah mensabitkan Najib, sabitan yang mereka takut untuk diketepikan, mereka melompat membelanya sehingga meragui kredibiliti SPRM.

Majlis Peguam menuntut penyiasatan yang setara dijalankan oleh pihak berkuasa terhadap laporan polis yang dibuat oleh Hakim Mohd Nazlan; bahawa tiada “double standard” dalam perkara itu; bahawa siasatan SPRM melanggar doktrin pengasingan kuasa; bahawa ia menjejaskan kebebasan badan kehakiman; bahawa ia adalah tidak bercanggah dengan perlembagaan dan ia harus ditangani di bawah Artikel 125 Perlembagaan.

Soalan: Sekiranya Hakim Mohd Nazlan membebaskan Najib adakah Majlis Peguam akan mengeluarkan kenyataan yang sama?

Tidak perlu dikatakan bahawa laporan polis yang dibuat oleh Hakim Mohd Nazlan dan laporan yang dibuat terhadap Hakim Mohd Nazlan mesti disiasat bersama dan saya pasti ia sedang dijalankan.

Tetapi, dengan menuntut “penyiasatan setara” terhadap laporan Hakim Mohd Nazlan dan dalam masa yang sama cuba menghalang siasatan dijalankan ke atas laporan terhadap Hakim Nazlan, bukankah Majlis Peguam mengamalkan double standard?

Saya menerima beberapa mesej WhatsApp dan e-mel, kebanyakkan dari mereka adalah bukan peguam yang bertanyakan soalan yang sama: Adakah ia menyalahi doktrin pengasingan kuasa bagi SPRM untuk menyiasat hakim? Ia menunjukkan bahawa walaupun mereka bukannya peguam, mereka mendapati bahawa pendapat Majlis Peguam amat pelik. Tiada Hakim atau individu yang kuasanya lebih tinggi dari undang-undang. Adakah saya perlu berkata lebih lagi mengenai Presiden Majlis Peguam?

Majlis Peguam juga mengatakan bahawa siasatan itu menjejaskan kebebasan badan kehakiman. Puan Presiden, kebebasan badan kehakiman tidak termasuk kebebasan untuk melakukan jenayah dan kebebasan daripada disiasat mengenainya.

Majlis Peguam juga mengatakan bahawa siasatan itu tidak mengikut perlembagaan. Saya ingin tahu di bawah peruntukan Perlembagaan yang manakah ianya bercanggah? Dia merujuk kepada Artikel 125. Saya menggesa dia untuk membaca semula artikel tersebut. Artikel itu merujuk kepada situasi apabila Hakim “sepatutnya disingkirkan atas apa-apa alasan pelanggaran kepada mana-mana peruntukan kod etika yang ditetapkan dibawah Fasal (3B) atau atas alasan ketidakupayaan, daripada kelemahan badan atau minda atau apa-apa sebab lain, untuk melaksanakan fungsi jawatannya dengan betul…” Ia tidak meliputi perlakuan kesalahan jenayah. Sebaliknya, SPRM dan Polis hanya mempunyai kuasa untuk menyiasat kesalahan jenayah di bawah bidang kuasa masing-masing dan bukan perkara yang disebut dalam Artikel 125. (Walaupun Dr. Shad Saleem Faruqi cuba meluaskan liputan Artikel 125, saya tidak fikir dia boleh tidak bersetuju dengan dua ayat terakhir saya.)

Kini saya merujuk kepada dua kenyataan akhbar oleh Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan. Atas sebab apa pun, tiada dakwaan sedemikian pernah dibuat terhadap mana-mana hakim dalam tempoh lima puluh tahun yang lalu. Jadi reaksi Badan Kehakiman yang mengeluarkan kenyataan akhbar merupakan yang pertama kalinya dalam sejarah. Saya percaya Ketua Pendaftar tidak akan mengeluarkan kenyataan sedemikian melainkan dia diarah oleh Ketua Hakim Negara.

Sila ambil perhatian bahawa dakwaan itu bukanlah dakwaan umum terhadap Badan Kehakiman. Ia adalah dakwaan terhadap hakim tertentu. Jadi mengapa Badan Kehakiman harus melompat membela Hakim tersebut?

Walaupun dakwaan itu telah dibuat oleh seorang penulis blog, jika peguam Najib tidak membuat permohonan untuk perbicaraan semula atau tidak menggunakannya sebagai alasan rayuan di Mahkamah Persekutuan supaya mahkamah tersebut mengenepikan sabitan dan memerintahkan perbicaraan semula, perkara akan berakhir di situ.

Jika peguam Najib memilih untuk melakukan salah satu daripada dua perkara yang dinyatakan sebelum ini, jika tiada kenyataan dikeluarkan oleh Badan Kehakiman, walaupun mahkamah menolak permohonan atau hujah, tiada kritikan atas alasan berat sebelah boleh dilemparkan terhadap Badan Kehakiman.

Sebaliknya, apabila kenyataan itu telah dikeluarkan, peguam Najib boleh berhujah bahawa mahkamah berat sebelah kerana Badan Kehakiman telah mengeluarkan kenyataan menolak dakwaan itu.

Jika dan apabila mahkamah menolak permohonan atau hujah, ia memberi alasan kepada pengkritik untuk mengatakan bahawa mahkamah berat sebelah. Walau apapun, mengapa memberikan alasan kepada Najib dan penyokongnya untuk menyerang keputusan mahkamah?

Dalam isu “sub judice”, adakah kenyataan daripada Badan Kehakiman bukan “sub judice”? Lebih-lebih lagi ia datang daripada Badan Kehakiman sebelum isu itu diputuskan, jika dibangkitkan.

Kita sekarang pergi ke ucapan Ketua Hakim Negara. Saya bersetuju dengan mana-mana bahagiannya. Cuma saya hanya mempersoalkan waktunya.

Walaupun Ketua Hakim Negara tidak menyebutnya, sesiapa yang membaca ucapan tersebut tahu bahawa dia merujuk kepada artikel yang ditulis oleh Raja Petra yang dilaporkan dalam Malaysia Today bahawa Hakim Mohd Nazlan sedang disiasat oleh SPRM.

Saya ulangi apa yang saya katakan mengenai kesan dua kenyataan akhbar yang dikeluarkan oleh Ketua Pendaftar. Ambil perhatian bahawa satu peristiwa penting telah berlaku selepas siaran akhbar kedua iaitu SPRM mengesahkan bahawa ia sedang menyiasat Hakim tersebut.

Soalan: Bukankah lebih baik jika SPRM dibenarkan untuk meneruskan dan menyelesaikan siasatan?

Pada akhir penyiasatan, SPRM boleh mengumumkan sama ada tiada bukti untuk menyokong dakwaan itu atau terdapat bukti yang mencukupi untuk menyokong pertuduhan. Jika ia adalah yang keduanya sekali maka hakim boleh dibebaskan. Bukankah lebih baik bagi Hakim bahawa pelepasan itu datang daripada SPRM selepas siasatan menyeluruh dan tiada kenyataan sedemikian dikeluarkan oleh Badan Kehakiman? Jika ia adalah yang terakhir, maka fail akan dirujuk kepada Pendakwaraya (Peguam Negara) untuk memutuskan sama ada untuk mendakwa Hakim atau tidak. Jika, berdasarkan bukti, Pendakwaraya memutuskan untuk tidak, perkara itu berakhir di situ. Jika dia memutuskan sebaliknya, proses perbicaraan bermula.

Sama ada Hakim dibebaskan atau tidak, tiada kritikan boleh dilemparkan terhadap Ketua Hakim Negara. Dia tidak boleh dituduh cuba mengganggu siasatan oleh SPRM.

Jangan menuduh saya sebagai pro-Najib, biar saya jelaskan bahawa saya tidak kisah walaupun Najib terpaksa menghabiskan sisa hidupnya di dalam penjara tetapi dengan syarat dia wajib untuk mendapat perbicaraan yang adil.

Saya tidak mengatakan dakwaan Raja Petra bahawa Najib tidak mendapat perbicaraan yang adil ada merit atau tidak. Itu adalah hak mahkamah untuk memutuskan. Saya tidak mengatakan bahawa dakwaan Raja Petra dan laporan terhadap Hakim Mohd Nazlan bahawa beliau terlibat dalam skandal kewangan 1MDB adalah benar atau tidak, mahupun laporan Hakim Mohd Nazlan terhadap Raja Petra ada merit atau tidak. Itu hanya akan diketahui selepas SPRM menyelesaikan siasatan terhadap kedua-dua dakwaan dan laporan tersebut. Justeru, SPRM harus dibenarkan untuk menjalankan tugasnya tanpa sebarang campur tangan sesiapa pun.

(Nota: Sebaik sahaja saya selesai menulis artikel ini, saya menerima mesej daripada seorang rakan bahawa dua peguam dan seorang aktivis telah memfailkan saman di Mahkamah Tinggi memohon pengisytiharan berikut:

“badan penyiasatan jenayah, termasuk SPRM tidak berhak atau dihalang daripada menyiasat hakim-hakim yang sedang berkhidmat di mahkamah atasan (Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan) melainkan mereka digantung kerja seperti yang dikehendaki di bawah Perlembagaan Persekutuan;”

“pendakwaraya tidak diberi kuasa untuk memulakan atau menjalankan apa-apa prosiding bagi kesalahan terhadap hakim yang sedang berkhidmat di mahkamah atasan.”

Mereka juga telah memohon pengisytiharan bahawa siasatan oleh SPRM terhadap Hakim Nazlan adalah tidak berperlembagaan.

Berita tersebut telah membuatkan saya untuk menerbit artikel ini.

 



Comments
Loading...