Najib tak patut diampunkan – Tun Abdul Hamid


(Suara TV) – Datuk Seri Najib Razak tidak layak diberi pengampunan meskipun jika Barisan Nasional (BN) memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) kerana hukuman itu perlu dijalani bagi mengelakkan ahli-ahli politik daripada memperalat Raja Berperlembagaan dan Lembaga Pengampunan.

Pendapat itu disuarakan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad dan katanya tindakan tidak memberi ampun itu bagi mengelak pemimpin-pemimpin yang korup, menyalahguna kuasa dan menyeleweng wang negara dan penjenayah daripada berkuasa atau berkuasa semula dan mengelak hukuman.

“Perlu diingati, bahawa bukanlah tugas atau terletak di bawah bidang kuasa Lembaga Pengampunan untuk mempersoal keesahan keputusan Mahkamah Persekutuan atau mengetepikannya. Ia juga tiada kepakaran dalam hal itu.

“Perasaan Najib tidak mendapat perbicaraan adil berdasarkan emosi ahli-ahli sesebuah parti politik tidak boleh menjadi alasan memberi pengampunan.

“Patutkah pengampunan diberi jika BN memenangi PRU-15? Saya juga berpendapat tidak. Alasan paling kuat mengapa pengampunan tidak patut diberi atas alasan ini ialah precedent yang diwujudkan oleh kes Datuk Seri Anwar Ibrahim itu tidak patut diikuti untuk mengelak pemimpin-pemimpin yang korup, menyalahguna kuasa dan menyeleweng wang negara dan penjenayah daripada berkuasa atau berkuasa semula dan mengelak hukumam.

“Ia juga untuk mengelak ahli-ahli politik daripada memperalatkan Raja Berperlembagaan dan Lembaga Pengampunan untuk membolehkan pemimpin seperti itu berkuasa atau berkuasa semula. Itu bukanlah tujuan Lembaga Pengampunan diadakan.

“Eloklah Lembaga Pengampunan kembali kepada amalan asal – mengampun kesalahan tanpa mempertikai keesahan sabitan dan hukuman oleh mahkamah kerana Lembaga Pengampunan bukanlah mahkamah rayuan dan jika tertuduh tidak bersalah, apakah yang hendak diampunkan? tegas Abdul Hamid dalam kenyataanya pada Rabu.

Sebenarnya kata beliau kesalahan Najib adalah lebih besar daripada kesalahan Anwar.

Jelasnya, kesalahan Anwar adalah terhadap seorang individu tetapi kesalahan Najib melibatkan kewangan negara.

“Patutkah Raja Berperlembagaan mengampunnya semata-mata kerana partinya menang PRU? Jika itu berlaku, akan jadi bahan ketawalah negara Malaysia dan Raja Berperlembagaannya.

“Najib sedang menghadapi beberapa pertuduhan lagi. Jika beliau diampunkan dalam kes ini, jika selepas ini beliau didapati bersalah lagi, adakah beliau akan diampun lagi atas alasan yang sama? soal beliau.

Abdul Hamid juga tidak menolak kemungkinan sekiranya Najib diberi ampun kelak Datuk Seri Ahmad Zahid pula akan berbuat demikian sekiranya didapati bersalah dan dijatuhkan hukuman penjara.

“Bagaimana jika pengampunan hendak diberi selepas PRU-15 dan BN memenanginya? Keadaan ini menyerupai keadaan yang melibatkan Anwar, bezanya Najib tidak diuar-uarkan akan menjadi Perdana Menteri seperti Anwar. Zahid tentu tidak akan membiarnya berlaku.

“Saya telah menghujahkan dalam kes Anwar bahawa pengampunan tidak sepatutnya diberi kerana ia bererti meletak kuasa di atas keadilan- seorang pemimpin politik boleh melakukan kesalahan jenayah, Raja Berperlembagaan akan mengampunnya apabila partinya menang.

“Ini bererti Raja Berperlembagaan akan bersekongkol dengan ahli-ahli politik untuk membolehkan penjenayah dan banduan, berkuasa atau berkuasa semula.

“Mereka sepatutnya disingkir, pertama oleh pengundi dan, kedua, oleh Raja Berperlembagaan. Jika, selepas pengampunan diberi kepada Anwar, pengampunan diberikan pula kepada Najib atas alasan yang sama, jika Zahid juga didapati bersalah dan BN menang PRU-15, bagaimana pengampunan tidak akan diberi kepada Zahid sedangkan sudah ada dua precedent di hadapannya? kata Abdul Hamid lagi.

 



Comments
Loading...