Ismail Sabri tidak hadir Taklimat Khas Presiden Umno


(Malaysia Post) – PERDANA Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak hadir ke taklimat khas Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang berlangsung di Dewan Merdeka di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), hari ini.

Difahamkan, ketiadaan kelibat Ismail Sabri yang juga Naib Presiden Umno dalam majlis taklimat berkenaan kerana beliau menghadiri program di Bera, Pahang, pagi tadi.

Beliau dilaporkan menghadiri pelancaran Program Inisiatif Pendigitalan Sektor Peruncitan (ReDI) dan Program Jualan Murah Keluarga Malaysia (JMKM) Peringkat Kebangsaan di Dataran Kerayong, Bera.

Kehadiran Ismail Sabri dalam taklimat itu adalah antara yang ditunggu-tunggu banyak pihak termasuk media selepas beberapa isu tercetus yang ‘menghangatkan’ suhu politik dalaman Umno termasuk desakan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) segera.

Dalam pada itu, selain Ismail Sabri, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin; Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim dan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa juga turut tidak kelihatan dalam taklimat hari ini.

Terdahulu, ribuan ahli Umno membanjiri taklimat hari ini yang dilihat sebagai majlis solidariti kepada Najib yang juga bekas Presiden Umno.

Puluhan media yang berhimpun di hadapan dewan itu masih tidak dibenarkan untuk masuk ke dalam bagi mendengar taklimat berkenaan.

Beberapa sepanduk yang mendoakan kesejahteraan Najib turut dipasang dan terdapat tabung disediakan untuk ahli menyampaikan sendiri nukilan kepada bekas Perdana Menteri itu.

Turut hadir isteri Najib, Datin Seri Rosmah Mansor dan peguam bekas perdana menteri itu, Tan Sri Muhammad Shafie Abdullah dan Datuk Zaid Ibrahim.

Terdahulu, Mesyuarat Biro Politik Umno sebelum ini antara lain menetapkan fokus topik penting yang akan disentuh pada sesi Taklimat Khas Presiden itu hari ini antaranya, kesiapsiagaan yang diperlukan untuk Umno mendepani PRU15.

Selain, penjelasan lanjut susulan keputusan Mahkamah Persekutuan, yang mengekalkan sabitan dan hukuman 12 tahun penjara serta denda RM210 juta yang dikenakan ke atas Najib berhubung penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

 



Comments
Loading...