Kerajaan sedia adakan PRU jika PN tarik balik sokongan, kata Ismail


(FMT) – Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan sedia mengadakan pilihan raya umum (PRU), jika Perikatan Nasional (PN) menarik balik sokongan terhadapnya.

“Kalau sokongan itu ditarik, maka pilihan raya perlu diadakan selepas itu.

“Kalau semua bersedia ke arah pilihan raya, tiada pilihan untuk kita adakan pilihan raya, kerajaan bersedia dalam apa jua keadaan, kita sedia,” katanya selepas merasmikan Pameran Pertanian, Hortikultur dan Pelancongan Agro Malaysia 2022.

Semalam, The Star melaporkan kepimpinan PN kecewa dengan Ismail dan “hilang sabar” selepas pertemuannya dengan Hamzah dibatalkan pada saat-saat akhir.

Laporan itu memetik pimpinan PN Sabah berkata, pilihan untuk menarik balik sokongan terhadap Ismail dibincangkan dalam mesyuarat gabungan itu minggu lalu.

Tetapi, katanya, ia akan menjadi langkah terakhir jika beliau berterusan tidak mahu menunaikan janjinya dengan PN.

Sebelum itu, Ketua Penerangan Bersatu, Wan Saiful Wan Jan dilaporkan berkata, pertemuan dengan Hamzah sepatutnya diadakan petang Khamis bagi membincangkan perjanjian berkaitan “terma-terma penting” antara PN dan naib presiden Umno itu sebelum Ismail dilantik sebagai perdana menteri.

Ismail berkata, penarikan sokongan terhadap kerajaan mungkin pandangan peribadi dan beliau tidak boleh mengambil tindakan selagi PN tidak mengeluarkan kenyataan rasmi.

“Jadi, mungkin satu, dua orang saja yang mengeluarkan kenyataan dan ada dalam kalangan ahli parti berkata, (perkara) ini tidak dibawa ke dalam mesyuarat. Itu mungkin pandangan peribadi.

“Jadi, saya tak boleh ambil tindakan, (tindakan) mesti berdasarkan kenyataan rasmi parti.”

 



Comments
Loading...