Pihak tuduh Ismail sabotaj parti ‘eloklah bertaubat’, kata pegawai khas PM


Pegawai khas kepada perdana menteri Kamarul Zaman Yusoff menyelar pihak yang “memfitnah” Ismail Sabri Yaakob mensabotaj parti dan menggesa mereka agar “bertaubat”.

(FMT) – Beliau berkata, pindaan perlembagaan Umno yang diluluskan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) Jumaat lepas membuktikan Ismail ialah “orang parti” yang membelakangkan kepentingannya sendiri.

“Secara logiknya, jika Ismail mahu menguatkan kedudukan di dalam Umno, beliau akan berusaha memastikan pindaan ini ditolak oleh JPPM atau diterima JPPM, tetapi hanya dikuatkuasakan selepas pemilihan Umno seterusnya.

“Sebaliknya, jika pindaan ini diterima oleh JPPM, maka status quo barisan kepimpinan Umno sekarang akan kekal di mana para penyokong Ismail, malah mungkin beliau sendiri, boleh diketepikan sebagai calon Umno pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

“Eloklah juga jika mereka yang menuduh Ismail mahu mensabotaj parti dapat bertaubat dan memohon ampun dengan Allah kerana memfitnah,” katanya dalam kenyataan.

Katanya lagi, Menteri Dalam Negeri, Hamzah Zainudin yang juga setiausaha agung Bersatu turut berdepan tuduhan sama bahawa beliau akan menggunakan kuasanya untuk mengarahkan JPPM menolak pindaan itu.

“Rasional yang digunakan adalah memaksa Umno mengadakan pemilihan sebelum PRU15 berlangsung pastinya akan memberikan kelebihan kepada Bersatu, yang dianggap sebagai saingan utama Umno, (pada) PRU15.”

Kamarul turut menzahirkan penghargaannya terhadap Hamzah atas sikap profesionalnya menangani isu ini, serta Ketua Pengarah JPPM, Mohd Nawardi Saad “yang tidak melatah dalam melaksanakan tugas”.

Jumaat lepas, Setiausaha Agung Umno, Ahmad Maslan dilaporkan berkata, JPPM meluluskan pindaan perlembagaan Umno agar pemilihan parti diadakan tidak lebih daripada enam bulan selepas PRU.

Katanya, tarikh pemilihan bagi 22,000 cawangan, yang sebelum ini dijadualkan pada September ini, akan diputuskan semula dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi pada 4 Ogos ini.

Dalam pada itu, Kamarul berkata, tindakan JPPM membenarkan pemilihan ditangguhkan enam bulan selepas PRU sebenarnya sama dengan pindaan kepada perlembagaan MCA yang diluluskan jabatan itu sebelum ini.

“Inilah juga sebenarnya pindaan yang dibuat ke atas perlembagaan MCA yang diluluskan oleh JPPM sebelum ini, iaitu kebenaran menangguhkan pemilihan enam bulan selepas PRU berlangsung, tanpa adanya pilihan ke atas penangguhan pemilihan selama 18 bulan.

“Memasukkan syarat bahawa satu pemilihan perlu diadakan dalam satu penggal PRU Parlimen (Dewan Rakyat) juga adalah langkah bijak JPPM bagi memastikan kelonggaran ini tidak disalahgunakan untuk mengurangkan amalan demokrasi dalam Umno,” katanya.



Comments
Loading...