Saya lulus projek Musang King ‘untuk lindungi Gunung Inas’, kata bekas MB Umno


(FMT) – Bekas menteri besar Kedah, Ahmad Bashah Md Hanipah mengakui pentadbirannya meluluskan penanaman durian Musang King di Gunung Inas, Baling untuk melindungi dan membaik pulih kawasan itu daripada aktiviti pembalakan.

Beliau berkata, pihaknya menerima cadangan dikemukakan ECK Development Sdn Bhd yang merancang Gunung Inas di Baling untuk dijadikan ladang durian berskala besar pada 2018.

“Saya tegaskan, kerajaan memberi kelulusan itu untuk melindungi semula kawasan tersebut, di samping kerajaan turut mendapat faedah dan pulangan yang difikirkan setimpal,” katanya dalam catatan Facebook.

Ini adalah kenyataan pertamanya berhubung isu itu, dua minggu selepas bencana kepala air dan banjir lumpur melanda Kampung Iboi yang meragut tiga nyawa serta menjejaskan lebih 800 penduduk pada 4 Julai lalu.

Ahmad Bashah berkata, penanaman durian itu diharap dapat melindungi kawasan itu daripada aktiviti pembalakan yang dijalankan di kawasan berkenaan sebelum ini.

“Kelulusan itu tidak sama sekali untuk tujuan pembalakan yang baharu kerana aktiviti pembalakan sudah pun berlaku.

“Jadi, tumpuan kerajaan adalah untuk memastikan supaya kawasan berkenaan dilindungi semula, dibaik pulih selepas pembalakan. Ia lebih kepada kesinambungan daripada aktiviti yang dicadangkan oleh syarikat yang dipertanggungjawabkan sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata, isu itu tidak perlu dipolitikkan secara keterlaluan.

“Hentikan menyalah satu sama lain. Teruskan usaha dan ambil tindakan segera,” katanya.

Minggu lalu, bekas menteri besar Kedah, Mukhriz Mahathir mendedahkan penanaman durian di Gunung Inas dibuat ketika pentadbiran Ahmad Bashah.

Mukhriz berkata, kerajaan Barisan Nasional yang diterajui Ahmad Bashah menukar tanaman pokok getah klon balak kepada durian Musang King.

Katanya, kawasan hutan simpan kekal Gunung Inas ditukar status kepada ladang pertanian oleh kerajaan BN pada 2007 dan dijenamakan sebagai Ladang Sejahtera oleh kerajaan PAS pada 2008.

 



Comments
Loading...