Tuntutan Sulu: Surat Tommy beri ‘pengiktirafan’ waris Sulu


(Malaysia Gazette) – Ibarat menjadi duri dalam daging kepada Malaysia, isu Sulu timbul lagi.

Kemuncak konflik dengan Sulu berlaku pada Februari 2013 apabila segerombolan waris Kesultanan Sulu menceroboh Lahad Datu, Sabah.

Akibat daripada pencerobohan itu Kerajaan Malaysia telah menghentikan bayaran pampasan RM5,000 kepada waris Sulu.

Bayaran tersebut diwarisi negara daripada penjajah Inggeris melalui North Borneo Chartered Company yang telah membuat satu perjanjian dengan Kesultanan Sulu pada 1878 untuk menyerahkan Sabah kepada mereka dengan bayaran ‘5,000 Malayan dollar setiap tahun.

Terbaharu waris Kesultanan Sulu berjaya membawa tuntutan tersebut ke peringkat antarabangsa. Pada 28 Februari lalu, penimbang tara Sepanyol, Dr Gondoza Stampa mengarahkan Malaysia membayar pampasan AS$14.92 bilion (RM62.59 bilion) kepada waris Sultan Sulu.

Pada 11 Julai lalu, peguam pihak Sulu dilaporkan merampas aset Petronas yang didaftarkan di Luxembourg, iaitu Petronas Azerbaijan (Shah Deniz) dan Petronas South Caucasus, dengan nilai dilaporkan mencecah lebih AS$2 bilion (RM8.8 bilion).

Kesilapan Tommy Thomas

Pakar Geostrategis, Dr. Azmi Hassan berpendapat dalam isu tuntutan Sulu, surat bekas Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas kepada peguam Sulu pada 19 september 2019 mengundang implikasi besar.

Menurut Azmi, surat Tommy yang berkhidmat ketika pentadbiran Kerajaan Pakatan Harapan secara tidak langsung telah mengiktiraf tuntutan yang dibuat oleh waris Kesultanan Sulu.

“Surat itu tidak akan memberi kemudaratan kepada Sabah tapi memberi mudarat pengiktirafan kita kepada waris Sulu.

“Jadi salah salah satu keputusan di Mahkamah Tribunal Paris telah menggunakan surat daripada Tommy Thomas. Dikatakan surat yang memberikan makna yang besar,” kata Azmi ketika dihubungi MalaysiaGazette.

Jelas beliau, surat Tommy boleh disamakan dengan surat yang dikeluarkan oleh Pemangku Setiausaha Kerajaan Negeri Johor pada 1953 kepada Singapura terhadap pemilikan Pulau Batu Puteh.

Surat tersebut menyatakan Kerajaan Negeri Johor tidak mahu menuntut pemilikan Pulau Batu Puteh atau Pedra Branca.

Seperti surat Pulau Batu Putih, surat yang dikeluarkan oleh Tommy telah digunakan sebagai bahan bukti di mahkamah antarabangsa.

“Surat (Tommy) tersebut digunakan sebahagian daripada penghakiman tribunal di Paris.

“Saya lihat surat Tommy sama beratnya dengan surat yang dihantar oleh Pemangku Setiausaha Negeri Johor mengenai Pulau Batu Putih yang menyatakan Johor tidak berminat dengan Pulau Batu Putih atau pun tidak mempunyai hak ke atas Pulau Batu Putih.

“Surat itu digunakan penghakiman Mahkamah Antarabangsa (ICJ) pada 2008 yang menyatakan Pulau Batu Putih milik Singapura, bagi saya sama berat surat Tommy dengan surat Pemangku Setiausaha Negeri Johor,” jelasnya.

Tambahnya, surat yang dikeluarkan oleh Tommy merupakan satu langkah yang salah dan telah menongkah keputusan yang dibuat oleh Kerajaan Persekutuan pimpinan Barisan Nasional pada tahun 2013.

Azmi berkata, tindakan yang dibuat oleh Tommy dalam mengeluarkan surat tersebut menunjukkan beliau seorang kurang berpengalaman dan tidak pakar dalam hal ehwal antarabangsa.

Pejabat Peguam Negara sepatutnya memberikan nasihat yang sewajarnya kepada Tommy sebelum beliau menghantar surat tersebut kepada peguam Sulu.

“Mungkin kerana nasihat yang betul tidak diberikan dan kita tahu peguam negara kita adalah yang baru dilantik dan kemungkinan kepakaran dan pengalaman beliau agak kurang.

“Tapi sepatutnya dalam Pejabat Peguam Negara nasihat yang betul diberikan kerana di situlah kepakaran perundangan ada. Jadi saya tidak faham kenapa surat itu dikeluarkan tanpa diselidiki dan dianalisis terlebih dahulu,” kata Azmi.

Keputusan tepat henti bayaran kepada Sulu

Tindakan Kerajaan pada 2013 di bawah pentadbiran Datuk Seri Najib Razak menghentikan bayaran kepada waris Kesultanan Sulu selepas kejadian pencerobohan di Lahat Datu merupakan satu tindakan yang tepat.

Menurut Azmi, langkah tersebut adalah tindak balas secara langsung oleh Kerajaan bagi mengembalikan semula maruah negara selepas tanah air diceroboh secara bersenjata oleh kumpulan Kesultanan Sulu.

Tambahan menurutnya, pencerobohan yang dilakukan telah menyebabkan banyak nyawa melayang termasuk 12 anggota keselamatan negara.

“Yang memang tepat kerana ia telah mencabar kedaulatan kita anggota keselamatan kita 12 orang telah pun terbunuh.

“Itu adalah tindakan yang paling minimum sekali. Jadi itu yang dikatakan tindakan yang betul untuk menjaga maruah dan kedaulatan kita,” katanya.

Peristiwa Lahad Datu meninggalkan sejarah hitam buat Malaysia selepas 235 pengganas Filipina yang sebahagiannya bersenjata menceroboh Kampung Tanduo di Lahad Datu pada 11 Februari 2013.

Kumpulan tersebut yang menggelarkan diri mereka sebagai ‘Askar Diraja Kesultanan Sulu dan Borneo Utara’.

Mereka telah dihantar oleh Jamalul Kiram III yang merupakan salah seorang daripada pihak yang menuntut takhta Kesultanan Sulu dan mendakwa dirinya sebagai Sultan Sulu.

Angkatan ‘Raja Muda’ Agbimuddin Kiram itu yang merupakan saudara lelaki kepada ‘Sultan Sulu’ Jamalul Kiram III menceroboh masuk Sabah dengan alasan ingin menuntut Sabah kembali menjadi wilayah Kesultanan Sulu.

Sementara itu menurut Azmi, adalah tidak tepat sekiranya ada pihak yang cuba menyalahkan Najib kerana memberhentikan bayaran kepada waris Sulu sejak 2013.

“Jika nak dipersalahkan Datuk Seri Najib ketika menjadi PM maka kesalahan itu berkait dengan pemberhentian sagu hati yang dibayar kepada waris Sultan Sulu.

“Keputusan dibuat selepas 2013 ketika militan Sulu menyerang Lahad Datu. Saya pasti keputusan ini disokong 100 peratus oleh semua rakyat Malaysia, jadi sukar untuk meletakkan kesalahan kepada keputusan PM pada masa itu,” terang beliau.

Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli antara yang menyalahkan Najib dengan mendakwa kegagalan dan kecuaian pentadbiran kerajaan ketika diterajui Najib menjadi punca menyebabkan harta milik Petronas dan agensi lain terdedah tindakan sita di seluruh dunia.

Bekas Ahli Parlimen Pandan itu berkata, pihaknya akan membuat laporan polis terhadap Ahli Parlimen Pekan itu kerana didakwa cuai dalam kes berkaitan isu tuntutan waris Sultan Sulu kepada kerajaan.

Lambat bertindak

Azmi yakin waris Kesultanan Sulu hanya membawa kes ke mahkamah antarabangsa pada 2017 walaupun bayaran dihentikan pada 2013 kerana telah memperolehi dana yang mencukupi atau menemui penaja untuk menyaman Kerajaan Malaysia.

Jelas beliau, untuk membawa kes ke mahkamah antarabangsa memerlukan kos yang tinggi dan waris Kesultanan Sulu sememangnya tidak mempunyai wang.

“Saya menjangkakan untuk membuat tuntutan di Mahkamah Tribunal memerlukan perbelanjaan yang besar. Dan pada waktu kita memang tahu waris Sulu itu tidak ada duit.

“Kemungkinan 2017 itu ada orang taja tapi kita tidak tahu siapa. Tidak mungkin peguam menjalankan tugas itu secara percuma. Tidak. Kalau ikutkan mungkin ada orang membiayai proses tuntutan ini,” katanya.

Tegas beliau, sepatutnya Kerajaan sama ada Barisan Nasional, Pakatan Harapan mahupun Perikatan Nasional mula menubuhkan pasukan khas sebaik sahaja pihak Sulu membawa kes ke mahkamah antarabangsa.

Malaysia hanya menubuhkan pasukan khas semalam menerusi pengumuman yang dibuat oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

“Itu yang saya rasakan terkilan, kerana terlampau lambat mengambil tindakan. Mungkin kerajaan ada masalah lain tapi masalahnya mereka yang bertanggungjawab perlu menasihatkan kerajaan supaya memberi tumpuan kepada isu ini. Tetapi tidak ada tumpuan. Malah tidak ada jawatankuasa khas ditubuhkan.

“Baru semalam Wan Junaidi kata ada kumpulan akan ditubuhkan, jadi sudah terlambat. Benda itu sudah lama berlaku. Tiga empat tahun lepas daripada 2017 lagi tetapi kita memandang remeh terhadap ini.

“Malah bila Februari lepas bila Mahkamah Tribunal Perancis membuat keputusan kita seharusnya telah bertindak tapi kita lambat bertindak dalam hal ini,” katanya kesal.

Azmi berkata, Malaysia sebagai ahli tetap Mahkamah Tribunal Antarabangsa tidak boleh mengelak daripada tuntutan Sulu.

Pasukan bertindak negara perlu menyediakan hujah yang kukuh dalam memastikan negara menang terhadap tuntutan Sulu yang bukan sedikit iaitu RM60 bilion.

Apa yang lebih penting adalah memastikan maruah dan kedaulatan negara dapat dipertahankan dalam tuntutan Sulu itu.

 



Comments
Loading...