Ladang durian dikaitkan dengan pemaju Lapangan Terbang Kulim, terowong bawah laut P Pinang


(Malaysiakini) – Ketika kerja-kerja pemulihan dijalankan di kampung-kampung berhampiran Kupang, Baling selepas banjir besar melanda pada 4 Julai lalu, pemilikan ladang durian yang dikatakan sebagai punca bencana itu kini menjadi perhatian .

Menurut laporan berita sebelum ini, projek itu dibangunkan oleh ECK Sdn Bhd.

Nama firma itu bagaimanapun tidak disebut dalam kenyataan media oleh kerajaan negeri selepas banjir itu melanda.

Semalam, Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berkata kerajaan negeri sedang dalam proses menentukan pemilik serta siapa yang memulakan penanaman durian itu memandangkan projek itu sudah lama dan banyak perubahan berlaku dalam pentadbiran kerajaan negeri.

Pun begitu, dalam satu kenyataan pada 6 Julai lalu, jurucakap kerajaan Kedah, Urusetia Penerangan Darul Aman menamakan Aman Mega Sdn Bhd sebagai syarikat usaha sama untuk pembangunan ladang hutan berkenaan.

Siapa ECK dan Aman Mega, dan adakah mereka mempunyai kaitan?

Pengaruh kuasa pasangan suami isteri, pemaju besar

Menurut Suruhanjaya Syarikat, ECK Sdn Bhd tidak wujud tetapi firma dengan nama ECK Development Sdn Bhd dan Aman Mega dikaitkan melalui pengarah dan pemiliknya.

Mereka ialah Khor Eng Chuen, 58, dan isterinya, Ginney Chew, 43, dari George Town, Pulau Pinang.

Pasangan bergelar “Tan Sri ” dan “ Puan Sri ” itu masing-masing mempunyai pengaruh kuasa yang besar dan dikaitkan dengan pembangunan berprofil tinggi di Pulau Pinang dan Kedah.

ECK Development ialah syarikat usaha sama bagi Lapangan Terbang Kulim yang menelan belanja berbilion ringgit dan pemaju projek terowong bawah laut Pulau Pinang bernilai RM6.3 bilion.

ECK Development mengambil alih ekuiti untuk projek terowong bawah laut Pulau Pinang daripada Consortium Zenith pada Januari tahun lepas. Ia menandatangani perjanjian usaha sama projek Lapangan Terbang Kulim dengan kerajaan Kedah yang diwakili Sanusi, Ogos lalu.

ECK Development juga merupakan penaja utama Persatuan Bola Sepak Kedah, dengan Chew dinamakan sebagai tokoh penting dalam pengambilan jurulatih Sepanyol, Ramon Marcote pada 2017.

Kaitan dengan firma pengubahan wang haram

Menariknya, ECK Development dikaitkan dengan MBI International Sdn Bhd – sebuah firma yang terlibat dalam penipuan dan pengubahan wang haram, dan pengasasnya yang menjadi buruan, Tedy Teow digelar “Jho Low 2 ” .

Beberapa eksekutif MBI International didakwa melakukan pengubahan wang haram, termasuk anak lelaki Tedy Teo Ee Meng.

Bagaimanapun, pada 2019, keluarga Teow menjual sahamnya dalam ECK Development, manakala Khor membelinya. Chew dan seorang lagi pemilik nominal, Rohana Shariff, menjadi pemegang saham pada 2020.

Rohana hanya memiliki 40 peratus saham berbanding 300 juta milik pasangan itu.

Setakat 8 Mei 2020, ECK Development juga dilaporkan telah disenaraihitamkan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan kerana gagal membayar kompaun, tetapi tidak lagi berada dalam senarai kemas kini pada 15 Mei tahun itu.

Pada 9 Mei tahun itu, ia menderma RM1 juta kepada Penggerak Komuniti Negara, sebuah NGO yang penaungnya ketika itu Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin.

Ini berdasarkan hantaran Instagram Zuraida yang kini dipadam tetapi telah tersebar secara meluas.

Dalam tempoh itu, Zuraida telah mendapat kritikan daripada lawan politiknya, yang menggesa dia meletak jawatan berhubung perkara itu.

ECK: Kami patuh semua peraturan

Malaysiakini telah menghubungi ECK Development untuk mengulas mengenai peranan ladang berkenaan dalam banjir yang melanda melalui e-mel dan panggilan telefon serta sedang menunggu maklum balasnya.

Ketika dihubungi oleh The Star pada 2019, ECK memberitahu akhbar itu bahawa ia telah mematuhi semua peraturan.

Penduduk mendakwa tidak pernah mengalami banjir seteruk ini sebelum projek tanaman durian itu dijalankan, walaupun hujan selama dua tiga hari.

Aktivis alam sekitar telah memberikan amaran tentang kemungkinan bencana akibat pembukaan hutan untuk projek di kawasan berbukit itu.

Mereka berkata pembukaan hutan di lereng bukit dan berhampiran sungai menjejaskan keupayaan semula jadi untuk mengurangkan aliran air semasa hujan lebat, menyebabkan sejumlah besar air, enap cemar dan serpihan mengalir ke hilir kampung.

MBI Kedah berkata ia telah mendapat kelulusan untuk membangunkan ladang hutan seluas 1,074 hektar di lapan kompartmen Hutan Simpan Gunung Inas. Ia adalah bersamaan saiz kira-kira 1,400 padang bola sepak.

Ia berkata 600 hektar telah dibangunkan sebagai tapak penyediaan, di mana 52 hektar ditanam dengan anak benih, tetapi kerja-kerja dihentikan apabila diarahkan oleh kerajaan negeri pada 2020.

Sanusi berkata dia mengarahkan kerja-kerja dihentikan dan pokok ditanam di sana untuk menutupi tanah yang dibersihkan, berikutan aduan banjir-banjir kecil di hilir.

Pada Rabu, menteri besar berkata siasatan mendapati kolam tadahan di ladang durian itu masih utuh, menunjukkan ia tidak menyumbang kepada banjir.

 



Comments
Loading...