Anwar perlu terima hakikat tiada sokongan jadi PM – Annuar Musa


(Malaysia Post) – PENGERUSI Pakatan Harapan (PH) diminta menerima hakikat bahawa beliau tidak dapat menjadi Perdana Menteri kerana tiada sokongan majoriti Ahli Parlimen dan bukan sebab lain seperti yang didakwanya.

Ahli Parlimen Ketereh Tan Sri Annuar Musa, berkata Ketua Pembangkang itu juga perlu berhenti membuat cerita palsu dengan meletakkan kegagalannya menjadi Perdana Menteri kononnya bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib.

Menurutnya, tindakan berkenaan adalah percubaan untuk memfitnah Ahli Parlimen Pekan terbabit.

“Kegagalan DSAI (Anwar) adalah kerana beliau gagal meyakinkan Yang di-Pertuan Agong, ketika diterima mengadap Oktober 2020, dengan dakwaan kononnya beliau punya cukup bilangan yg meyakinkan untuk dilantik menjadi Perdana Menteri menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Sedangkan dokumen yang di sembahkan, termasuk pengakuan individu tertentu,yang kemudiannya terbukti tidak mempunyai merit, malah di nafikan oleh ahli parlimen sendiri,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Annuar yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia berkata, cerita kononnya Najib mencadangkan calon lain, juga adalah fitnah.

“DSN (Najib) tidak banyak terlibat ketika itu. DSIS (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) dikemukakan sebagai calon Perdana Menteri oleh permuafakatan Ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sabah (GPS), Perikatan Nasional (PN) dan beberapa Ahli Parlimen bebas.

“Kami ada merujuk dan berbincang dengan DSN,” katanya.

Beliau berkata, kaedah ‘putar alam’ yang digunakan Presiden PKR itu eloklah dihentikan dan terimalah hakikat Anwar belum pernah mendapat cukup sokongan Ahli Parlimen, walau ada pihak yg cuba cuba untuk menyokong beliau.

Anwar baru-baru ini mendakwa keengganannya membatalkan kes mahkamah membabitkan pemimpin Umno termasuk Najib menyebabkan beliau tidak dipilih sebagai pemimpin negara, meskipun sudah mempunyai bilangan Akuan Bersumpah (SD) mencukupi.

Menurutnya, pendedahan bekas ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman bahawa wujud SD dalam kalangan Ahli Parlimen Umno yang menyokongnya cukup jelas untuk menjawab tohmahan dilemparkan terhadapnya sebelum ini.

Sementara itu, Najib menafikan beliau pernah meminta Anwar menggugurkan kes mahkamah dihadapinya jika mahu sokongan menjadi Perdana Menteri.

 



Comments
Loading...