Semak fakta isu subsidi, usah melenting tanpa usul periksa


Masyarakat Melayu memang terkenal dengan sikap suka melenting. Bahkan, saya percaya perkataan ‘melenting’ agak sukar dialihbahasakan kepada bahasa lain, contohnya bahasa Inggeris.

(Berita Harian) – Namun, kebelakangan ini sifat itu tidak terhad kepada komuniti Melayu. Rakyat Malaysia rata-rata cepat melenting dan panas baran tanpa usul periksa, entah mengapa. Sudah menjadi lumrah agaknya.

Ambil contoh pengumuman baru-baru ini mengenai penghapusan subsidi untuk ayam, telur dan minyak masak botol. Minggu lalu, seperti yang semua maklum, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna mengumumkan pemansuhan subsidi minyak masak botol, ayam dan telur ayam mulai esok.

Apabila frasa ‘penghapusan subsidi’ terpampang sahaja di media tak kira jenis apa pun, ditambah lagi ketika ekonomi negara masih bergelora, mekanisme melenting kita diaktifkan secara automatik.

Justeru, ramai mula ‘meroyan’, terutama dalam media sosial. Mereka meluahkan rasa tidak puas hati masing-masing. Anehnya, mereka tidak peduli pun mengenai kesahihan berita atau fakta di sebaliknya.

Selain ada yang meroyan, terdapat pula sekumpulan yang lain menjadi tukang kipas, mengambil kesempatan melempar pelbagai tuduhan, sekali gus memanaskan keadaan.

Tidakkah mereka mahu bertenang sejenak dan mengambil masa membaca semula berita dengan lebih teliti serta memahaminya sebaik mungkin?

Sebenarnya, kerajaan sudah memperuntukkan RM4 bilion subsidi untuk minyak masak tahun ini. Angka itu jauh berbeza berbanding RM2.2 bilion sebelumnya dan hanya RM500 juta bagi 2020. Jadi, benarkah kerajaan bersikap kejam, terutama kepada golongan miskin?

Kerajaan cuma menghapuskan subsidi minyak masak dalam botol dua kilogram (kg), 3kg dan 5kg sahaja, manakala subsidi untuk minyak masak paket kekal. Subsidi minyak masak botol sudah diperkenalkan pada Ogos 2021 dan bertujuan untuk berkuat kuasa selama tiga bulan sahaja, namun ia sudah terlajak hingga masuk bulan ke-10 ketika ini. Jadi, adakah keputusan itu masih dianggap tidak berperikemanusiaan?

Bagi penghapusan subsidi ayam dan telur pula, keputusan berkenaan bagi memastikan bekalan mencukupi di pasaran selain bertujuan menstabilkan harga dalam jangka panjang. Mana-mana ahli ekonomi pun tahu bahawa subsidi yang berpanjangan dan secara besar-besaran hanya akan menjejaskan ekonomi dalam jangka panjang.

Adalah tidak masuk akal untuk golongan T20 menikmati subsidi yang sama atau lebih, daripada kumpulan B40. Itulah sebabnya kerajaan juga meningkatkan pemberian wang tunai Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) kepada golongan B40.

Isi rumah dalam kategori ini akan diberi tambahan RM100 dan belia yang belum berkahwin akan mendapat tambahan RM50. Ini akan menjadikan jumlah pembayaran BKM setinggi RM2,500 setiap isi rumah tahun ini.

Untuk sekian lama, kita membenarkan sifat prejudis dalam diri mengaburi pertimbangan objektif. Bila kita terbaca tajuk berita ‘subsidi minyak masak dimansuhkan’, kita terus melenting tanpa mahu membaca dan memahami apa sebenarnya cerita di sebaliknya. Kita seolah-olah gian mengadu dan meroyan walaupun subjek yang dibahaskan tidak berpaksikan kepada realiti, malah ada kala sudah diputarbelitkan.

Jadi, dalam konteks itu kesahihan berita atau kebenarannya menjadi tidak penting. Apa yang penting hanyalah dunia maya yang selaras dengan prasangka kian menebal. Maaf kalau tulisan saya ini juga bunyi seperti melenting dan meroyan. Namun, realiti dan fakta mesti diketengahkan. Kalau tidak, yang hancur adalah negara nanti.

Firdaus Abdul Rahman



Comments
Loading...