Pengguguran Tajuddin mungkin sebabkan PM tangguh pilihan raya


(FMT) – Pengguguran Tajuddin Abdul Rahman daripada Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno berkemungkinan telah mengukuhkan tekad Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob untuk menangguhkan pilihan raya umum (PRU), kata seorang saintis politik.

Wong Chin Huat berkata situasi itu jelas menunjukkan “siapa ketua” dalam Umno dan Ismail mungkin sekarang takut dilihat pincang jika beliau bersetuju mengadakan PRU lebih awal.

“Dengan presiden mengawal senarai calon pada PRU15, dan penyokong setia Ismail mungkin akan digantikan oleh penyokong mereka, Ismail mungkin kehilangan pekerjaannya selepas pilihan raya, walaupun Umno berjanji untuk menjadikannya budak poster mereka.

“Jadi mengapa Ismail perlu mengadakan pilihan raya awal sedangkan beliau tahu akan kehilangan jawatannya walaupun Umno menang besar?” kata Wong.

Barisan Nasional (BN) mempunyai tradisi mencalonkan presiden Umno sebagai perdana menteri. Bagaimanapun, Ismail adalah naib presiden.

Puak Umno yang sehaluan dengan Presiden parti Ahmad Zahid Hamidi kini mendesak agar PRU15 diadakan secepat mungkin.

Mengenai sama Umno akan menyukarkan situasi dihadapi Ismail sekiranya beliau menangguhkan pilihan raya, Wong berkata paling teruk, mereka yang sehaluan dengan Zahid hanya boleh memastikan Ismail ditolak dalam pemilihan parti yang akan diadakan enam bulan selepas PRU15.

Katanya, ini tidak ada bezanya dengan menggugurkan Ismail selepas pilihan raya awal.

“Umno tidak boleh menyerang perdana menteri sendiri tanpa menjejaskan dirinya sendiri,” katanya. Puak Zahid akan kecewa “tetapi tidak banyak yang boleh dilakukan mereka”.

Wong juga berkata, mereka yang sehaluan dengan Ismail mungkin bergantung kepada sabitan rasuah Zahid tetapi keputusan mahkamah tidak akan mengukuhkan kedudukan perdana menteri itu secara automatik.

Katanya, Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan akan dinamakan pemangku presiden secara automatik melainkan MKT bersetuju untuk mengadakan pemilihan yang mana tidak mungkin dilakukan.

Terdahulu, Zahid berkata Tajudin digugurkan daripada MKT kerana sikapnya yang mengkritik parti. Zahid tidak mengulas lanjut. Ketua Umno Bahagian Ketereh Annuar Musa sejak itu memberi amaran bahawa lebih banyak “musuh” kepimpinan parti akan dipecat.

 



Comments
Loading...