Ismail ‘tiada masa’ layan serangan kluster mahkamah Umno


Walaupun serangan bertubi dilancarkan, namun perdana menteri itu kelihatan turut memberi ‘saingan hebat’.

(Malaysia Now) – Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob mungkin berdepan ancaman terbesar terhadap kerajaan pimpinannya selepas hampir 10 bulan memegang jawatan dengan sokongan “tidak ikhlas” dalam kalangan sekumpulan pemimpin Umno yang dikenali sebagai kluster mahkamah, MalaysiaNow difahamkan.

Namun Ismail dilihat turut memberikan “saingan hebat” terhadap kumpulan yang dipimpin Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi tersebut, kata satu sumber rapat dengan ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno yang bermesyuarat malam tadi.

“Nada mesyuarat semalam sangat jelas bagi mereka yang hadir. Dan ketidakhadiran Ismail turut dirasakan,” kata sumber kepada MalaysiaNow.

Zahid dan bekas perdana menteri Najib Razak, yang berdepan dengan pelbagai pertuduhan jenayah sudah melancarkan serangan bertubi-tubi terhadap naib presiden Umno itu selepas gesaan berkali-kali mereka agar Parlimen dibubarkan tidak dilayan.

Kenyataan oleh Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Johor Nur Jazlan yang juga merupakan orang kuat Zahid yang menggelar Ismail sebagai “perdana menteri Umno paling lemah”, menjadi antara salah satu daripada serangan kluster mahkamah tersebut.

Kenyataan itu mendapat reaksi balas daripada anggota Kabinet Ismail yang selama ini lantang mengkritik kluster mahkamah termasuk Annuar Musa dan Khairy Jamaluddin.

Kerajaan pimpinan Ismail ditubuhkan dengan sokongan musuh Umno iaitu Perikatan Nasional selain Gabungan Parti Sarawak, beberapa kali menjelaskan keutamaannya ketika ini adalah untuk menangani inflasi dan menghidupkan semula ekonomi pasca Covid berbanding percaturan politik.

Perkara itu menimbulkan kemarahan kluster mahkamah yang dipimpin Zahid dan Najib, di mana ramai pengikutnya kini memulakan serangan terbuka terhadap Ismail, menuduhnya sebagai seorang pemimpin yang lemah kerana tidak mengadakan pilihan raya umum supaya Umno dapat kembali berkuasa di Putrajaya.

Ramai dalam kalangan pimpinan Umno termasuk di peringkat negeri setakat ini berhati-hati dan memilih untuk tidak memihak kepada sesiapa dalam perang saudara yang semakin meruncing dalam parti itu.

“Namun satu perkara yang disepakati oleh pimpinan Umno adalah satu kesilapan jika mengembalikan kluster mahkamah dan kepimpinan Umno seperti sebelum pilihan raya umum 2018 di mana ia menjadi punca kekalahan parti itu,” kata seorang bekas menteri dari Umno kepada MalaysiaNow.

Tindakan memecat orang kuat Najib dari pasukan propaganda Umno di Selangor adalah salah satu contoh bagaimana parti itu sedar bahawa “populariti di Facebook tidak dapat diterjemahkan kepada undi sebenar,” katanya, merujuk hantaran harian Najib dalam Facebook yang sering diperkatakan ramai di mana ia menjadi platform untuk menunjukkan orang ramai bersimpati dengannya.

“Betul, tapi simpati sahaja tidak dapat diterjemahkan kepada undi. Tanyalah pada Anwar Ibrahim,” kata bekas menteri itu, merujuk kepada presiden PKR.

Awal bulan ini, Umno Selangor memecat Isham Jalil yang dilihat terus mempertahankan Najib dan pemimpin bermasalah lain dalam parti itu.

Kluster mahkamah yang menguasai Umno mengambil tindakan balas yang sama dengan menggugurkan pemimpin veteran dan penyokong Ismail, Tajuddin Abdul Rahman daripada MKT Umno berikutan kritikannya terhadap tindakan parti yang mahu PRU diadakan lebih awal.

Beberapa hari kemudian, bagi menunjukkan kekuatan terhadap Ismail, kepimpinan Umno pusat mengambil langkah mengangkat Isham ke MKT menggantikan Tajuddin, menutup sebarang ruang kritikan terhadap kluster mahkamah.

Setakat ini, Ismail dilihat bersedia untuk bertembung secara berdepan dengan mereka yang terus mendesaknya membubarkan Parlimen, satu langkah yang sama sahaja seperti meletakkan jawatan perdana menteri yang beliau tidak pernah minta.

“Beliau mungkin jenamakan dirinya sebagai ahli politik kampung, namun langkah-langkah yang diambil sejak akhir-akhir ini menunjukkan beliau cepat belajar dalam seni berdepan dengan pemimpin parti yang mahu menyingkirnya dari tampuk kuasa,” kata seorang pembantu menteri.

“Ini juga menunjukkan mengapa beliau sedar sokongan pemimpin Umno untuk mencalonkannya semula sebagai perdana menteri selepas PRU akan datang tidak memberi sebarang makna, sebagai seorang ‘Umno totok’, beliau sudah biasa dengan muslihat seperti itu,” tambahnya.

Ketidakhadirian Ismail dalam mesyuarat MKT semalam merupakan satu petunjuk jelas berhubung pendirian Ismail.

Ismail sebaliknya memilih untuk bersama pimpinan dunia yang lain dalam sebuah dialog secara dalam talian di Kuala Lumpur melibatkan anggota BRICS, kumpulan negara terdiri daripada Brazil, Rusia, India, China dan Afrika Selatan.

“Tindakan itu seperti untuk beritahu pemimpin Umno bahawa mereka tidak berada dalam kerajaan, dan tidak mempunyai kuasa.

“Beliau dengan secara jelas beritahu mereka, ‘Saya ada tugas rasmi yang lebih penting daripada politik dalam parti,’” kata pembantu menteri itu.

https://www.malaysianow.com/berita/2022/06/25/ismail-tiada-masa-layan-serangan-kluster-mahkamah-umno/



Comments
Loading...