AHLI PARLIMEN DAP TIDAK BERCAKAP BENAR, MENGATA DULANG PAKU SERPIH


Kamarul Yusoff

Semalam Ahli Parlimen Klang dari DAP, Charles Santiago, membantai kerajaan yang didakwa tidak memberi keutamaan kepada isu hak asasi manusia kerana dikatakan lewat melantik pesuruhjaya Suhakam.

Lebih dari itu, Charles Santiago malah mendakwa bahawa sepanjang enam bulan lepas Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri tidak pernah berkata apa-apa tentang hak asasi manusia dan demokrasi.

Sesungguhnya tuduhan lucu ini amat menepati peribahasa Melayu berbunyi “mengata dulang paku serpih, mengata orang dia yang lebih” yang bermaksud “Mencari salah orang, diri sendiri lebih banyak salah”.

Di bawah Seksyen 5 (2) Akta Suhakam 1999, lantikan pesuruhjaya Suhakam adalah dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong atas syor Perdana Menteri setelah beliau berunding dengan jawatankuasa lantikan.

Kekosongan jawatan pesuruhjaya Suhakam wujud pada 26 April 2022, hari ini baru 10 Jun 2022, dan ia sudah berada di peringkat penyembah makluman nama-nama calon kepada Yang di-Pertuan Agong.

Perlu diingat, waktu PH memerintah selama 22 bulan dulu, PH mengambil masa dua bulan untuk mengisi pada 26 Jun 2019 kekosongan jawatan pesuruhjaya Suhakam yang wujud pada 26 April 2019.

Ke mana menghilangnya Charles Santiago, mengapa tidak beliau persoalkan kelembapan PH mengisi kekosongan jawatan pesuruhjaya Suhakam sekali gus komitmen PH kepada isu hak asasi manusia, waktu itu?

Dakwaan bahawa Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri tidak pernah berkata apa-apa tentang hak asasi manusia dan demokrasi sepanjang enam bulan lepas pula adalah lebih tidak betul.

Jika diteliti ucapan beliau sepanjang enam bulan lepas, akan ditemui banyak sekali pernyataan komitmen beliau ke atas pengukuhan demokrasi dan penegakan hak asasi bagi golongan yang terpinggir.

Dalam Perutusan Sempena Tahun Baharu 2022 pada 31 Disember 2021, beliau menyatakan kesediaan kerajaan untuk mengadakan transformasi sistem kehakiman bagi memperkukuhkan demokrasi di negara ini.

Dalam ucapan sempena Hari Wartawan Nasional 2022 pada 29 Mei, beliau menekankan betapa kerajaan beliau tidak pernah mengekang suara pihak media serta menjamin kebebasan bersuara di negara ini.

Di dalam pelbagai majlis, beliau sering menekankan bahawa kerajaan beliau akan memastikan tidak ada Keluarga Malaysia yang ketinggalan dalam merasai nikmat dan kemakmuran negara, ‘No one will be left behind’.

Ini temasuklah hak Sabah dan Sarawak, kaum minoriti, Orang Asli, orang kurang upaya (OKU), warga emas, wanita, kanak-kanak serta golongan B40 dan M40 yang terkesan akibat pandemik dan bencana alam.

Malah, hak asasi haiwan juga beliau caknai, antaranya melalui pindaan Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 pada 21 Disember 2021 untuk meningkatkan keberkesanan perundangan konservasi hidupan liar.

Begitupun, seperti yang ditekankan oleh beliau sewaktu menjawab soalan Dato’ Seri Anwar Ibrahim di Parlimen pada 1 Mac, nilai hak asasi di negara kita mungkin berbeza daripada nilai badan antarabangsa.

Tetapi jika hak asasi itu merangkumi penghapusan semua peraturan dan undang-undang yang menjadikan homoseksualiti sebagai satu jenayah, maka memang benarlah beliau tidak pernah bercakap mengenainya.

 



Comments
Loading...