RUU Anti Lompat Parti tidak akan berjaya – Ku Li


(Utusan) – Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah menyifatkan Rang Undang Undang (RUU) Anti Lompat Parti yang dijangka dibentangkan di Parlimen bulan Julai ini tidak akan berjaya.

Beliau berkata, RUU yang akan dibentang itu adalah tidak logik dari segi perundangan.

Katanya, RUU itu adalah satu bentuk sekatan yang boleh menimbulkan huru-hara atau kekacauan kepada negara.

“Akta yang dibuat di Parlimen untuk mencegah ahli politik lompat parti tidak akan berhasil kerana dalam perlembagaan, hak seseorang memilih pandangan dan parti yang dikehendakinya tidak boleh diusik.

“Jika tiba-tiba parti kita terbubar, di mana kita nak pergi apabila ada akta tidak boleh lompat parti? Tidak ada logik dari segi perundangan.

“Dia (kerajaan) tak boleh buat halangan dan sekatan macam itu, kalau tiba-tiba berlaku ‘kecemasan’ tetap akan berlaku lompat parti untuk tubuh kerajaan baharu atau keadaan akan jadi huru-hara,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Indra Petra 2, di sini semalam.

Sementara itu, Tengku Razaleigh juga berpandangan Pilihan Raya Umum (PRU) tidak sesuai dilakukan ketika rakyat dan negara menghadapi krisis ekonomi serta makanan.

“Saya rasa parti yang berkuasa sekarang menghadapi masalah kerana tak boleh selesai soal makanan untuk rakyat.

“Rakyat mesti marah, rakyat cari jawapan yang senang dan menyalahkan kerajaan kerana tak tolong mereka. Tetapi bukan mudah nak selesai masalah kerana kita perlu cari pakar-pakar untuk duduk semeja dan cuba selesaikan masalah itu,” katanya.

Semalam, laporan menyebut cadangan Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti sudah dimuktamadkan Jawatankuasa Pilihan Khas dan dijangka akan dibentangkan di Parlimen selewat-lewatnya 18 Julai ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, jawatankuasa akan bermesyuarat minggu depan untuk meneliti laporan penuh cadangan itu sebelum dibawa ke Parlimen selepas lima kali mesyuarat diadakan.

Katanya, RUU Anti Lompat Parti ini akan membabitkan pindaan Perlembagaan Persekutuan menerusi Perkara 10, 48, dan penggubalan Artikel 49(a).

 



Comments
Loading...