Ringgit mungkin cecah RM5.50 bagi AS$1, kata Ku Li


(Watra Rakyat) – KADAR tukaran ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat dijangka mencecah RM5.50 bagi AS$1 akhir tahun ini jika kerajaan tidak ambil langkah bersesuaian mengekang penyusutan berterusan mata wang tempatan.

Sehubungan itu, Ahli Parlimen Gua Musang, kerajaan digesa menumpu sepenuh perhatian kepada pembaikan tukaran asing supaya nilai ringgit tidak terus jatuh, malah dapat dipertingkatkan berbanding dolar AS.

Beliau yang juga bekas Menteri Kewangan berkata, kemerosotan nilai ringgit memberi kesan yang sangat besar kepada rakyat negara ini.

“Sekarang ini pun, dua hari lalu ringgit kita sudah turun kepada RM4.40 berbanding AS$1 dan ini akan menjadi lebih teruk . Kalau terus jatuh kita tak boleh beli apa-apa. Dah tak ada nilai. Sebagai contoh, kalau nilai ringgit kita jatuh kepada lima sen misalnya apa yang boleh kita beli? Ini masalah sebenarnya,” katanya lapor Berita Harian.

Tengku Razaleigh berkata, rakyat ketika ini perlu mengamalkan sikap berjimat cermat dan berhati-hati.

“Saya tak nak ugut atau menakutkan sesiapa, keadaan ini akan berlaku. Kita hanya ada dua bulan bekalan makanan, padahal penduduk kita lebih ramai berbanding Singapura yang ada bekalan hingga enam tahun.

“Kalau kita tak ambil tindakan segera kita akan berhadapan dengan masalah. Bukan sahaja masalah ekonomi tetapi masalah sosial dan macam saya sebut tadilah keadaan akan jadi huru-hara serta demonstrasi terutama sekali oleh orang bukan berada,” katanya.

Sebelum ini, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) menggesa masyarakat antarabangsa mengambil tindakan segera dan menyelaraskan usaha untuk menangani krisis makanan.

 



Comments
Loading...