Ambiga kesal Najib dijemput ke istana


(Malaysiakini) – Kehadiran bekas perdana menteri Najib Razak ke sebuah majlis di istana baru-baru ini menimbulkan rasa tidak senang hati dan menimbulkan rungutan di kalangan mereka yang tidak bersetuju.

Ini susulan Najib disabitkan bersalah menyeleweng RM42 juta dana SRC International, yang disifatkan sebagai memalukan negara dan terlibat dalam satu lagi perbicaraan berkaitan skandal kewangan terbesar di dunia.

Pada masa yang sama, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dijadual menyampaikan keputusannya terhadap kes rasuah isterinya Rosmah Mansor berhubung projek tenaga solar hibrid untuk sekolah luar bandar di Sarawak pada 7 Julai.

Dalam keadaan ini, Ambiga Sreenevasan berkata amat dikesali bahawa Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menyenaraikan bekas perdana menteri itu sebagai tetamu baginda.

Semasa temu bual dengan Malaysiakini, tanpa teragak-agak dia menegaskan: “Jika kamu berani menerbitkannya, saya bersedia untuk menyatakannya.”

Tanpa menapis kata-katanya, bekas presiden Badan Peguam Malaysia itu menegaskan bahawa episod ini sebagai “tidak menghormati mahkamah”.

“Saya difahamkan pada majlis lain, terdapat hakim yang hadir bersama sekaligus meletakkan mereka dalam keadaan yang memalukan.

“Lagipun, mereka itu adalah para hakim Seri Paduka,” katanya.

Mengakui bahawa Najib mungkin berjaya membatalkan sabitan kesalahannya semasa Mahkamah Persekutuan mempertimbangkan rayuannya, Ambiga bagaimanapun berkata:

“Tetapi sebelum itu, kamu perlu menghormati mahkamah dan prosesnya.”

Mengimbas kembali kata-kata Dr Mahathir Mohamad dalam salah satu bukunya bahawa perbincangan mengenai peranan raja-raja diperlukan, Ambiga turut merujuk kepada pelantikan menteri besar Johor susulan pilihan raya negeri pada Mac, lalu.

“Ia melanggar prinsip demokrasi, konvensyen dan perlembagaan negeri,” tambahnya.

Umno telah berkempen dan berjanji bahawa Hasni Mohamed akan terus menjadi menteri besar jika parti itu dan sekutunya mengekalkan kuasa mereka.

Namun, sebaliknya, Onn Hafiz Ghazi, yang dispekulasikan sebagai calon pilihan istana negeri, kemudian mengangkat sumpah sebagai menteri besar.

Ambiga Sreenevasan berkata amat dikesali bahawa Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menyenaraikan bekas perdana menteri itu sebagai tetamu baginda.

Berikutan itu, veteran Umno Shahrir Samad meluahkan kekecewaannya dalam satu catatan di Facebook.

Bekas menteri itu berkata adalah memalukan bahawa Hasni tidak dilantik semula dan Umno Johor tidak dapat berbuat apa-apa mengenainya.

Sementara itu, Ambiga, yang juga bekas pengerusi gerakan reformasi pilihan raya Bersih, berkata rakyat sedang memerhatikan apa yang sedang berlaku.

“Kita tidak seharusnya memandang rendah pandangan rakyat.

“Mereka memandang rendah perasaan rakyat pada pilihan raya umum ke-14. Mereka tidak nampak betapa kecewanya rakyat.

“Orang ramai mungkin berdiam diri (sebahagian besarnya kerana Akta Hasutan), tetapi kamu tidak tahu apa yang mereka fikirkan. Mereka akan bercakap melalui peti undi.

“Jika kamu terus menaikkan kemarahan mereka, yang saya fikir mereka (yang berkuasa) sedang lakukan, kamu akan dapat satu lagi keputusan seperti PRU14. Mudah-mudahan,” tambahnya.

Ambiga turut tidak menolak kemungkinan Najib dan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi, seorang lagi pelawat kerap ke Kompleks Mahkamah Jalan Duta, Kuala Lumpur membuat kemunculan semula dalam politik.

Pengkritik tegar Najib, veteran DAP Lim Kit Siang, sebelum ini menimbulkan kebimbangan selepas Ferdinand Marcos Jr melancarkan kempen media sosial yang berjaya membersihkan pemerintahan diktator atau kuku besi mendiang bapanya untuk memenangi pilihan raya presiden Filipina.

Lim memberi amaran bahawa Najib, yang telah memanfaatkan pengaruh media sosial mungkin menggunakan kaedah yang sama untuk bangkit semula.

Ditanya mengenai perkara itu, Ambiga menjawab: “Mereka mempunyai cara dan wang (seperti Ferdinand Marcos Jr) untuk melakukannya. Mereka boleh menulis semula sejarah. Itulah kebimbangannya.”

“Tetapi masa tidak menyebelahi mereka untuk mengubah sepenuhnya fikiran orang, pastinya bukan buat mereka yang telah meluat dan marah,” tambahnya.

 



Comments
Loading...