Siapa kata UMNO kembali berkuasa selepas PRU15? – Soal Chin Tong


(Utusan) – Di sebalik keyakinan Barisan Nasional (BN) terutama UMNO bahawa parti itu akan kembali menguasai Kerajaan Persekutuan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), pembangkang bagaimanapun meraguinya berdasarkan trend sokongan pengundi kepada parti itu.

Ketua pembangkang Pakatan Harapan (PH) Johor, Liew Chin Tong berkata, menyorot dua Pilihan Raya Negeri (PRN) di Melaka dan Johor sebelum ini, sokongan tetap pengundi terhadap gabungan itu hanya mencapai sekitar 40 peratus, iaitu rekod sama diperoleh mereka pada PRU14.

Bagaimanapun, Chin Tong daripada DAP berpendapat, keadaan itu menyaksikan tiada lagi sambutan hebat diterima dalam tempoh beberapa tahun sebelum ini.

Merujuk pada keputusan pilihan raya umum lalu, katanya, UMNO hanya menang 47 kerusi Parlimen di Semenanjung dan tujuh kerusi Parlimen di Sabah (54 kerusi keseluruhan), MIC menang dua kerusi manakala MCA hanya menang satu kerusi.

“Jika kita tumpukan kepada 165 kerusi di Semenanjung sahaja, UMNO-BN hanya mendapat sokongan selesa di sekitar 70 kerusi.

“PH menang 55 kerusi Parlimen di Semenanjung tiga penggal berturut-turut dari 2008, 2013 hingga 2018, dan bertambah 10 kerusi lagi pada 2013 dan 2018. Kesemua 65 kerusi ini dijangka kekal di tangan pembangkang.

“Jika UMNO-BN disekat pada tahap 70 kerusi di Semenanjung, tentulah ia tidak mampu untuk kembali menjadi ‘abang besar’ kepada semua parti-parti lain, walaupun ia mungkin merupakan gabungan yang menduduki tempat teratas.

“Malah, jika UMNO-BN menang 85 kerusi sekalipun, tiada jaminan parti-parti yang menang di Sabah dan Sarawak mahu bekerjasama jika menyedari gabungan UMNO-BN terlalu rapuh untuk kekal sebagai kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Chin Tong yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perling berkata, pada PRU12 dan PRU13, BN menang 85 kerusi di Semenanjung dan berjaya menubuhkan Kerajaan Persekutuan dengan sokongan kerusi-kerusi di Sabah dan Sarawak.

Sebaliknya, PH yang hanya menang 80 kerusi di Semenanjung pada PRU13 dan PRU14 telah meningkatkan kejayaannya dengan memenangi 98 kerusi sekali gus berjaya membentuk Kerajaan Persekutuan baharu menggantikan BN waktu itu.

Justeru, Chin Tong percaya, parti-parti politik yang menang di Sabah dan Sarawak tidak akan ‘membabi buta’ menyokong ‘kluster mahkamah’ sekiranya tuntutan mereka untuk mendapatkan kuasa autonomi wilayah tidak dipedulikan selain BN bersikap tidak serius berkenaan hal itu.

Kluster mahkamah merujuk kepada kelompok pemimpin-pemimpin UMNO yang terpalit dalam beberapa skandal berprofil tinggi dan sedang menghadapi perbicaraan di mahkamah.

“Kita tidak perlu putus harapan. Selagi semua watak utama politik Malaysia sedar bahawa negara akan terus merudum jika kluster mahkamah kembali berkuasa, kita masih ada harapan untuk mewujudkan peraturan demokratik yang lebih adil untuk semua,” kata Chin Tong.

 



Comments
Loading...