PAS tak akan kerjasama dengan PH, kata Hadi


(FMT) – PAS menegaskan ia tidak akan membentuk kerjasama baharu dengan Pakatan Harapan (PH) termasuk menerusi pendekatan khemah besar dalam pilihan raya umum ke-15 (PRU15), kata Presidennya, Abdul Hadi Awang.

Ahli Parlimen Marang itu berkata, hubungan kerjasama antara mereka sudah lama berakhir dan tidak akan berulang kembali.

“Kita sudah bekerjasama 20 tahun lebih, cukuplah. Tiada kerjasama dengan mereka (PH), sebab dalam berpolitik ini biasanya kerjasama tidak berulang,” kata Hadi dalam sidang media yang disiarkan di Facebooknya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Presiden Amanah Mohamad Sabu bahawa pihaknya tidak akan bersedia bekerjasama melalui pendekatan khemah besar dengan PAS atau Bersatu.

Pada 18 Apr lalu, PAS memaklumkan yang parti itu menolak sebarang cadangan untuk bekerjasama dengan parti pembangkang dalam PRU akan datang.

Dalam satu kenyataan, Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan yang menggesa supaya gabungan politik kerajaan diperkuatkan, menegaskan tiada kerjasama dengan parti pembangkang “khususnya PH”.

Ia dibuat ketika sesetengah pihak mencadangkan semua parti yang berada di luar BN bekerjasama sebagai langkah memperkuatkan cabaran mereka menjelang PRU15.

Bagaimanapun pada 20 April lalu, Timbalan Presiden Amanah, Salahuddin Ayub menyarankan PH membuka pintu rundingan dengan semua parti pembangkang, termasuk Bersatu dan PAS, menjelang PRU15 bagi memastikan pembangkang kukuh dalam menghadapi BN.

Salahuddin turut tidak menolak kemungkinan kenyataan Mohamad disalah petik ketika memberi amaran kepada PH untuk tidak bekerjasama dengan Umno, Bersatu dan PAS menerusi pendekatan khemah besar.

 



Comments
Loading...