Laporan risikan: Peguam Ahmad Zahid akan buat laporan polis


(Astro Awani) – Satu laporan polis akan dibuat oleh pihak peguam yang mewakili Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkenaan dengan laporan risikan pemimpin Pas seperti yang tular di media sosial pada Rabu.

Memetik laporan The Star, peguam utama Ahmad Zahid, Hisham Teh Poh Teik berkata, dokumen risikan yang didakwa dikarang jawatankuasa pusat Pas itu menimbulkan kesulitan kepada pihaknya, dan mengakui terkejut tentang perkara berkenaan.

“Satu laporan polis akan dibuat dan kita telah bertanya pada pihak berkuasa berkaitan untuk menyiasat perkara itu dengan teliti sama ada cubaan itu dibuat untuk menjejaskan integriti proses kehakiman,” katanya dalam kenyataan pada tengahari Rabu.

Terdahulu, tular di media sosial berkenaan satu dokumen sulit yang menyerupai minit mesyuarat Perikatan Nasional (PN) mengenai pertemuan antara Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar dan Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dengan pemimpin parti lain pada Mac dan April lalu.

Antara barisan pemimpin yang dinyatakan ialah Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali diikuti Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air, Tun Dr Mahathir Mohamad, Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Bendahari Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Pas bagaimanapun menafikan dakwaan yang mana parti itu terlibat dalam mengatur gerak kerja melalui dokumen minit mesyuarat dikenali sebagai Laporan Political Engagement Pas Pusat yang dikatakan bertujuan untuk menjatuhkan BN dan UMNO.

 

 

 

 



Comments
Loading...