Undi18: Silap besar jika pinda Perkara 10 Perlembagaan


(Malaysiakini) – Kumpulan Undi18 menyifatkan pengumuman kerajaan untuk meminda Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan di parlimen Isnin ini sebagai kesilapan besar.

Mereka berkata pindaan itu akan menyebabkan beberapa isu besar yang akan memberikan implikasi jangka masa panjang kepada demokrasi negara.

Menurut mereka, antaranya pindaan itu akan memberikan kuasa terlalu luas kepada kerajaan untuk menentukan keahlian parti untuk ahli parlimen, serta terbuka kepada salah guna kuasa.

“Pindaan Perkara 10 tidak khusus kepada isu lompat parti. Pindaan Perkara 10 akan memberikan “cek kosong” kepada mana-mana kerajaan yang akan datang untuk mengawal penyertaan ahli parlimen dan Adun dalam parti politik.

“Contohnya, tidak mustahil jika peraturan diletakkan untuk memecat ahli politik dari parti politik jika mereka pernah disaman ataupun pernah ditahan polis bawah mana-mana akta ditentukan pihak kerajaan.

“Kesimpulannya, silap besar jika Pindaan Perlembagaan kepada Perkara 10 diluluskan,” kata mereka dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Undi18, pindaan Perlembagaan masih diperlukan untuk Perkara 48, di mana termaktub sebab-sebab seseorang ahli Dewan boleh dilucutkan kerusi Parlimennya.

“Tanpa pindaan terhadap Perkara 48, apa-apa Rang Undang-Undang Anti-lompat Parti yang memaksa ahli parlimen mengosongkan kerusi parlimen masih tidak selari dengan Perlembagaan,” jelasnya.

Menurutnya lagi, pindaan Perkara 10 juga tidak mampu menghalang peristiwa seperti tumbangnya kerajaan Pakatan Harapan dan kerajaan Perikatan Nasional berulang kembali.

“Kedua-dua kejadian ini disebabkan oleh parti politik kerajaan memilih untuk menukar arah dan meninggalkan Kerajaan.

“Justeru, Undi 18 menyokong cadangan kumpulan masyarakat sivil, Bersih dan Azalina Othman Said untuk mengusulkan pilihan raya pecat (recall elections) sebagai langkah penyelesaian lebih jitu,” kata mereka.

Kerajaan baru-baru ini memaklumkan kepada ahli parlimen pembangkang bahawa RUU untuk meminda Perlembagaan Persekutuan akan dibentangkan bagi membolehkan undang-undang antilompat parti digubal pada masa hadapan.

Bagaimanapun, RUU baru itu menimbulkan kebimbangan lain.

Menurut salinan RUU berkenaan yang ditunjukkan oleh Ahli Parlimen Subang Wong Chen, pindaan Perkara 10 perlembagaan adalah berkaitan dengan kebebasan bersuara, berhimpun dan berpersatuan.

Ia akan memasukkan sub-fasal yang membenarkan keahlian parti bagi ahli parlimen dan Adun dihadkan oleh undang-undang persekutuan.

 



Comments
Loading...