SPRM diminta siasat semula dakwaan rasuah Timbalan Presiden UMNO


(Agenda Daily) – Dakwaan mengatakan Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan menerima rasuah berkaitan projek pembalakan dan pajakan tanah di Negeri Sembilan sekitar 2008 hingga 2010, wajar disiasat semula selepas isu sama dibangkitkan sebuah portal berita, kelmarin.

Sehubungan itu, UMNO Cawangan Setapak Jaya 1A di Bahagian Setiawangsa Kuala Lumpur mengemukakan aduan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membolehkan siasatan segera dijalankan.

Dakwaan Mohamad atau Tok Mat menerima rasuah itu pernah dibangkitkan Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim pada April 2019 setelah Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Negeri Sembilan, Datuk Zulkefly Mohamad Omar mengetengahkannya.

Kes itu dilaporkan berlaku pada 2008, dengan Mohamad didakwa melanggar undang-undang perbankan selepas memindahkan RM10 juta ke London melalui pengurup wang.

Bagaimanapun, Mohamad menjelaskan pemindahan wang itu untuk tujuan pembelian pangsapuri di London dan menafikan sebarang salah laku.

Semalam, portal Malaysia Today mendedahkan Mohamad yang ketika itu Menteri Besar Negeri Sembilan didakwa menerima suapan bernilai RM10 juta daripada seorang pengarah syarikat.

Dakwaan itu didedahkan penulis blog, Raja Petra Kamarudin sebelum disiarkan di portal berita berkenaan pada Isnin lalu.

Raja Petra mendakwa Mohamad telah menerima bayaran sebanyak RM10 juta daripada pengarah bagi beberapa syarikat yang menjalankan perusahaan pemprosesan kayu dan pengusahaan kelapa sawit di Melaka dan Negeri Sembilan, Teh Ho Ann.

Penulis itu mendakwa Teh telah memberi wang tersebut secara tunai melalui tiga buah beg kepada Mohamad di Kediaman Rasmi Menteri Besar Negeri Sembilan di Jalan Keliling Seremban, Negeri Sembilan.

Sementara itu memetik laporan Utusan, Ketua Penerangan UMNO cawangan berkenaan, Datuk Halim Rahmat berkata beliau mahu SPRM menyiasat secara telus mengenai kesahihan dakwaan itu.

Beliau berkata, portal berita itu mendedahkan Mohamad dituduh menerima suapan rasuah berkaitan projek pembalakan dan pajakan tanah di Negeri Sembilan sekitar tahun 2008 hingga 2010.

“Kami hadir ke Ibu Pejabat SPRM hari ini bagi meminta agensi itu menyiasat kesahihan tuduhan berkenaan.

“Kami sudah muak dengan kisah-kisah penyelewengan dan rasuah membabitkan pemimpin utama parti, justeru siasatan perlu dilakukan segera,” katanya ketika ditemui selepas menyerahkan aduan kepada SPRM, hari ini.

Katanya, beliau minta siasatan itu disegerakan memandangkan Mohamad adalah pemimpin utama parti.

 



Comments
Loading...