Kerajaan Pastikan Subseksyen SOSMA Dilanjutkan


Kerajaan akan memastikan dapat menjayakan lanjutan tempoh kuat kuasa Subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA), dengan mendapatkan persetujuan Parlimen sebelum ia tamat Julai ini.

(BH) – Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, berkata pihaknya akan menggunakan segala perundangan yang termaktub untuk memastikan Akta SOSMA akan terus berkuat kuasa selepas Julai ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pihaknya terkilan dengan tindakan Ahli Parlimen kerajaan yang bertindak keluar dewan ketika peranan mereka diperlukan dalam aspek pengundian.

“Saya sangat tidak gembira kerana ada sebahagian mereka sudah berada dalam dewan tapi keluar bila undi belah bagi.

“Pemikiran orang seperti ini sebenarnya langsung tak fikirkan tanggungjawab dia demi kepentingan negara. Saya sudah jelaskan, isu SOSMA ini isu keselamatan negara.

“Soalannya, kita mesti mendapatkan semula persetujuan Parlimen untuk kita sambung Julai ini sebelum ia tamat,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Sempena Peringatan Hari Polis Ke-215 di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Kerajaan gagal melanjutkan kuat kuasa Subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) selepas Dewan Rakyat menolak usul berkenaan, pada Selasa.

Pada masa sama ketika ditanya sebab Ahli Parlimen kerajaan keluar dewan ketika undi belah bahagi, Hamzah berkata, ia berikutan mereka tidak suka melihat wajahnya.



Comments
Loading...