Shafee Abdullah dakwa Hakim Nazlan telah hilang kelayakkan


(MYKMU.net) – Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali sepatutnya menarik diri daripada mendengar perbicaraan kes Najib Razak berkaitan dana SRC International.

Peguam Najib, Muhammad Shafee Abdullah berkata, ini kerana hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur itu sebelum ini didakwa memainkan peranan dalam pinjaman 1MDB bagi pemerolehan pengeluar tenaga bebas, Tanjong Energy Holdings Sdn Bhd.

Dalam perbicaraan rasuah berkaitan kes 1MDB yang sedang berlangsung terhadap Najib, pihak pendakwaan berhujah bahawa jejak aliran kewangan yang berbelit-belit itu melibatkan pemerolehan Tanjong Energy.

READ MORE HERE

Nazlan, yang sebelum ini dinaikkan pangkat sebagai hakim Mahkamah Rayuan, menjatuhkan hukuman terhadap Najib melibatkan RM42 juta dana SRC International pada Julai 2020.

Najib sedang menunggu rayuan berhubung perkara itu di Mahkamah Persekutuan.

Sebelum berkhidmat dalam badan kehakiman, Nazlan merupakan seorang tokoh korporat di Maybank.

SRC pernah menjadi anak syarikat 1MDB. Ia kemudiannya menjadi milik penuh Menteri Kewangan Diperbadankan.

‘Nazlan hilang kelayakan’

Shafee hari ini berkata, pasukan peguam Najib akan memfailkan permohonan baru di Mahkamah Persekutuan untuk mengemukakan bukti baru (mengenai Nazlan yang dikatakan mempunyai konflik kepentingan) dalam rayuan SRC.

Esok ditetapkan untuk Najib mengemukakan permohonan berasingan di Mahkamah Persekutuan bagi memasukkan bukti baru dalam rayuan SRC, iaitu maklumat perbankan keluarga bekas gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Zeti Akhtar Aziz, yang dikaitkan dengan 1MDB.

“Terdapat lebih RM4 bilion pinjaman daripada Maybank (kepada 1MDB untuk pengambilalihan Tanjong). Ia melalui pelbagai proses di Maybank, jawatankuasa risiko dan keseluruhan lembaga pengarah (Maybank).

“Salah seorang ahli jawatankuasa yang mendapat arahan ialah ketua undang-undang, penasihat undang-undang kumpulan, ketua nombor satu bahagian korporat dan undang-undang iaitu Nazlan, hakim yang mendengar kes SRC (terhadap Najib).

“Dia (Nazlan) sepatutnya hilang kelayakan (daripada perbicaraan SRC) kerana dia akan menjadi saksi di sini (perbicaraan 1MDB Najib).

“Jika pihak pendakwaan tidak memanggilnya (Nazlan), kami akan memanggilnya. Dia melalui semua proses (untuk pinjaman Maybank kepada 1MDB) dan dia memiliki pendapat tertentu apabila syarikat (1MDB) gagal membuat bayaran,” kata Shafee.

Peguam itu bercakap kepada media semasa sidang media selepas perbicaraan rasuah terhadap Najib berkaitan kes 1MDB di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur di Jalan Duta petang tadi.

Semasa perbicaraan petang ini di hadapan hakim perbicaraan Collin Lawrence Sequerah, nama Nazlan muncul semasa pemeriksaan balas oleh Shafee terhadap saksi pendakwaan ke-12, iaitu bekas ketua pegawai kewangan 1MDB Azmi Tahir.

Berhubung rayuan SRC di Mahkamah Persekutuan, Najib memohon untuk membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 2020 yang mensabitkannya, serta menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta, atas satu pertuduhan salah guna kuasa, tiga pertuduhan pecah amanah (CBT), dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan RM42 juta dana daripada SRC.

Pada 8 Dis tahun lepas, Mahkamah Rayuan menolak rayuannya untuk membatalkan keputusan bersalah dan hukuman dalam kes rasuah SRC.

Sebelum ini SRC yang merupakan anak syarikat 1MDB menjadi milik penuh Menteri Kewangan Diperbadankan.

Selain merupakan perdana menteri ketika itu, Najib juga merupakan menteri kewangan, penasihat emeritus SRC, dan pengerusi lembaga penasihat 1MDB.

Berhubung kes rasuah 1MDB melibatkan dana RM2.28 terhadap Najib, perbicaraan di peringkat pendakwaan masih diteruskan di hadapan hakim Sequerah.

 



Comments
Loading...