Saya tidak ambil satu sen pun walau bekas PM – Tun Dr Mahathir


(Utusan) – Ahli Parlimen Langkawi, Tun Dr. Mahathir Mohamad mempertikai amalan pemberian hadiah lumayan kepada bekas Perdana Menteri yang diamalkan Malaysia ketika ini.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, keputusan tersebut dibuat tanpa rujukan kepada Dewan Rakyat dan seolah-olah kerajaan berhak membuat apa sahaja tanpa mengikut undang-undang.

Dr. Mahathir berkata, beliau tidak mengambil satu sen pun daripada kerajaan selepas bersara walaupun diberikan tawaran pemberian tanah pada ketika itu.

“Gaji saya pada ketika itu RM20,000, sudah mencukupi. Kerajaan sudah beri segalanya seperti rumah, api, air, pengangkutan, beberapa kereta dan kapal terbang juga diberikan kepada saya.

“Apa lagi yang diperlukan? Sebab itu, saya tidak ambil satu sen pun. Tetapi bila datang Perdana Menteri ketujuh, berasaskan Perdana Menteri Kelima sebanyak RM70 juta, jadi dia minta lebih iaitu RM100 juta,” katanya.

Dr. Mahathir berkata demikian pada sesi Perbahasan Titah Diraja di Dewan Rakyat hari ini.

Selain itu, Dr. Mahathir turut mendakwa, Datuk Seri Najib Tun Razak menulis surat dua kali kepada kerajaan dan meminta dihadiahkan sebidang tanah atas jasanya sebagai bekas Perdana Menteri.

“Saya mengetahui perkara ini sebab ada individu yang dedahkan, perkara ini boleh dipercayai kerana individu berkenaan tidak pernah berbohong kepada saya.

“Ketika beliau mendapat hadiah itu, saya fikir dia sedang dibicarakan di mahkamah dan keputusan bersalah. Tetapi dia buat (tulis) surat kepada kerajaan, tiada perasaan malu,” katanya.

Sehubungan itu, Dr. Mahathir meminta kerajaan tidak lagi membuat keputusan di luar undang-undang kerana ia mewujudkan ketidakstabilan dalam negara.

 



Comments
Loading...