Penukaran agama sepihak salah mengikut mana-mana standard moral, kata ahli sosiologi


Penukaran agama sepihak bagi kanak-kanak bukan sahaja tidak berperlembagaan tetapi juga tidak beretika, kata seorang profesor sosiologi susulan kes terbaru melibatkan ibu tunggal Loh Siew Hong dan tiga anaknya.

(FMT) – Syed Farid Alatas dari Universiti Nasional Singapura, berkata, beliau percaya ramai rakyat sudah bosan dengan laporan berterusan mengenai kes penukaran agama sepihak.

Katanya, penukaran agama sepihak adalah salah mengikut mana-mana standard sekalipun, terutamanya bagi negara ini yang berbilang kaum dan agama kerana wujud keperluan untuk mengekalkan keharmonian dan persefahaman antara masyarakat yang berbeza.

“Penukaran agama sepihak bukan sahaja salah kerana ia bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan, tetapi salah mengikut mana-mana standard moral sejagat. Ia tidak beretika kerana kanak-kanak tidak berada dalam kedudukan yang membolehkan mereka membuat keputusan sedemikian.

“Ia berbeza jika kanak-kanak dilahirkan dalam agama tertentu dan dalam keluarga yang menganut agama tertentu. Ia juga berbeza jika anda mempunyai ibu bapa yang menganut agama yang berbeza dan ibu bapa membincangkan perbezaan ini dengan anak-anak dan memberi pilihan kepada mereka.

“Tetapi untuk mengeluarkan anak-anak daripada agama yang dianuti sejak dilahirkan tanpa mereka mempunyai tahap umur dan kematangan untuk membuat keputusan adalah tidak beretika,” katanya kepada FMT.

Terdahulu, Mufti Perlis Mohd Asri Zainul Abidin mengesahkan jabatan agama negeri itu mendaftarkan tiga kanak-kanak bawah umur tersebut sebagai Islam tanpa kehadiran ibu mereka, Loh.

Mahkamah Persekutuan sebelum ini memutuskan dan mengesahkan bahawa penukaran agama kanak-kanak bawah umur perlu mendapat persetujuan kedua-dua ibu bapa.

Mahkamah Tinggi semalam membenarkan permohonan habeas corpus Loh untuk mendapatkan semula hak penjagaan tiga anaknya.

Sebagai respons, Mohd Asri berkata, beliau kini sedang melihat langkah lain dari sudut undang-undang bagi mempertahankan keislaman anak Loh jika mereka ingin terus menganut Islam.

Menurut Mohd Asri lagi, pada 14 Feb lalu, pihaknya telah membawa kanak-kanak tersebut ke Balai Polis Kangar untuk diserahkan kepada Loh bagaimanapun proses penyerahan tidak dapat dilakukan kerana anak-anak itu enggan mengikut ibunya.

Farid berkata, Asri tidak berhak untuk menentukan sama ada kanak-kanak itu lebih suka bersama bapa atau ibu mereka walaupun jika ia benar atau sama ada wajar kanak-kanak itu ditukarkan agama.

“Soal kanak-kanak itu lebih memilih bapa daripada ibu adalah perkara yang berasingan. Jika mereka mahu bersama bapa, bukannya ibu, maka itu adalah keputusan mahkamah dan pihak berkuasa yang terlibat dalam kebajikan kanak-kanak.”

 



Comments
Loading...